AntarabangsaIsu Semasa

Sebelum Tahun 2011, Libya Adalah Negara Terkaya Di Afrika

Sebelum ini, Libya merupakan negara yang terkaya di Afrika, namun segalanya musnah apabila berlakunya perang saudara pada tahun 2011, yang mahu menggulingkan kerajaan Muammar Gaddafi.

Difahamkan, Libya terpisah di antara kerajaan-kerajaan yang bersaing dan kuasa pusat yang berkonflik – satu di bahagian timur dan satu lagi di bahagian barat di negara itu.

Kedua-dua pihak juga disokong oleh militia yang berjuang untuk mendapatkan ‘bahagian’ masing-masing daripada hasil kekayaan negara berikutan penggulingan Gaddafi.

“Pemisahan di Libya tidak berlandaskan faktor etnik, agama, atau mazhab. Konflik ini berunsur politik, perselisihan faham, dan bagaimana untuk mengongsikan kuasa dan kekayaan,” kata ahli politik dan akademik Libya, Guma el Gamaty.

Kolonel Muammar Gaddafi yang dilabel sebagai ‘diktator’, telah memerintah Libya lebih daripada empat dekad.

Beliau juga membahagikan insentif wang tunai secara strategik, namun menyatukan puak-puak politik dengan pemerintahan yang berunsurkan penindasan.

Pada Oktober 2011, diktator yang mendakwa dirinya telah membawa demokrasi kepada rakyat Libya, telah ditangkap dan dibunuh.

Pembunuhan tersebut dipercayai dilakukan oleh puak pemberontak yang juga rakyat negaranya, dan mereka mendapat sokongan pemain-pemain serantau seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, serta kuasa-kuasa barat termasuk Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), dan Perancis, yang menggambarkan Gaddafi kadang kala sebagai rakan dan selalunya musuh, mengikut kepentingan masing-masing.

“Rakyat Libya tidak pernah terfikir bahawa Gaddafi akan ‘pergi’, jadi mereka sanggup mengorbankan nyawa masing-masing untuk dibebaskan daripada cengkaman Gaddafi dan apa yang beliau telah lakukan kepada mereka.

“Pihak Barat tidak melakukan apa-apa semasa revolusi Tunisia. Mereka tidak lakukan apa-apa ketika revolusi Mesir. Secara jelas, mereka sudah ‘fed up’ dengan Gaddafi dan ini adalah peluang untuk membuang Gaddafi.

“Ia adalah peluang bagi dunia untuk menghapuskan ancaman, bernama Gaddafi,” kata seorang lagi ahli politik bernama Mustafa Abushagur.

Sementara itu, penasihat politik Libya, Mohamed Buisier berkata, tiada apa yang mampu menyatukan semula Libya pada waktu ini.

“Libya yang kita kenali sebelum ini sudah hilang. Ia telah hilang. Apa yang kita lihat di hadapan kita sekarang, sudah sampai ke penghujung, ia membawa kita ke arah perpecahan.

“Tiada apa yang dapat membawa negara ini kembali ke arah perpaduan, dan setiap hari, kita semakin dekat dengan pengakhiran,” ujarnya.

 

Sumber: Al-Jazeera

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker