FesyenGaya Hidup

‘The Flash’ Popularkan Jam Tangan Nayan Co

Jarang kita melihat selebriti Hollywood mengenakan aksesori dari sebuah syarikat tempatan yang kurang dikenali di negara ini.

Namun apabila perkara ini berlaku, ia adalah pencapaian sangat memberangsangkan terutama di Sabah apabila pelakon siri ‘The Flash’ Grant Gustin dilihat memakai jam tangan analog, Nayan Co, menerusi foto Instagramnya.

Jam tangan berwarna coklat yang dipakai Gustin pada Anugerah Pilihan Remaja 2018 di Los Angeles, Amerika Syarikat menarik perhatian pengikutnya, yang kemudian bertanya mengenainya.

Pelakon Flash yang membalas pertanyaan itu berkata, “Nayan, seorang jurugambar yang saya temui di Malaysia memberikannya kepada saya, syarikat miliknya sendiri dan saya menyukainya,”yang kemudiannya menjadi tular.

Related image

Pengasas bersama syarikat Nayan Co, di Sabah, Fahad Nasir, 31, dan Fadzyinie Dullie, 29, tidak dapat menggambarkan keterujaan mereka apabila orang ramai mula bertanya mengenai jam tangan itu.

Pada Disember tahun lalu, Fahad menghadiahkan dua jam tangan kepada Gustin yang berada di Sabah untuk meraikan pertunangannya dengan Andrea Thoma, yang berketurunan campuran Kadazan.

Fahad adalah jurugambar pasangan itu pada majlis yang diadakan secara tradisional di rumah keluarga Thoma, di Kampung Kolopis, Penampang.

“Ia adalah hadiah sebagai ucapan tahniah kepadanya. Saya memberikan dua warna tetapi nampaknya dia lebih suka warna coklat kerana saya selalu melihat dia memakainya.

“Dia juga memakainya semasa program bual bicara Conan O’brien, set satu lagi berwarna putih,” kata Fahad, sambil menambah jam tangan kulit berwarna coklat kini semakin mendapat permintaan tinggi di pasaran.

Mengulas lanjut mengenai Nayan Co, Fahad berkata syarikat itu ditubuhkan pada November tahun lalu untuk menyediakan jam tangan klasik dan mampu dimiliki.

“Saya suka jam tangan dan ia adalah aksesori kegemaran saya. Nama Nayan sebenarnya adalah kombinasi nama anak perempuan saya yang berusia empat tahun Nayla dan anak lelaki Ayaan yang berumur dua tahun.

“Sekiranya anda menterbalikkan logo itu, ia sebenarnya bersifat simetrikal. Apabila kami mendapat idea untuk menjual sesuatu, kami tidak mahu ia sekadar kasut atau pakaian.

“Kami mahu menjual sesuatu yang kami sukai dan jam tangan adalah sesuatu yang sentiasa berada di peredaran zaman, tidak ramai yang menjualnya,” katanya.

Related image

Fahad berkata jam tangan keluaran syarikat mereka yang berdiameter 44 milimeter itu datang dalam satu reka bentuk dengan empat warna berbeza. Jam tangan itu dibuat dengan cermat dan dipasang di China.

“Apabila saya memberikan jam tangan kepada Gustin, kami tidak menjualnya. Kami hanya mula menjualnya pada Januari tahun ini.

“Penjualan kini meningkat dengan 70 peratus pelanggan kami dari Semenanjung, malah kami juga menerima pesanan dari Singapura,” katanya.

Ketika ditanya sama ada Gustin menyatakan apa-apa ketika dia menyampaikan jam tangan, Fahad berkata, Gustin berterima kasih dan menyatakan dia suka jam tangan dan menghargai pemberian mereka.

Jam tangan Nayan Co kini dibuka untuk pesanan menerusi akaun Instagram @Nayan_Co.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker