AntarabangsaIsu Semasa

Selepas Lebih 3 Tahun Di ‘Neraka’, Wartawan Jepun Akhirnya Bebas

Seorang wartawan warga Jepun, Jumpei Yasuda akhirnya dapat pulang semula ke tanah airnya pada Khamis, 25 Oktober 2018, selepas menjadi tahanan militan di Syria selama kira-kira 40 bulan (lebih daripada 3 tahun).

Menyifatkan pengalaman pahitnya itu sebagai ‘neraka’ secara fizikal dan psikologi, Yasuda menyatakan bahawa beliau telah dituduh menjadi perisik oleh militan yang menangkapnya.

Ketika berada di dalam tahanan, wartawan itu telah ditempatkan pada satu ruang yang amat sempit dengan ketinggian 1.5 meter dan 1 meter lebar, dan beliau juga tidak dibenarkan untuk mandi, membasuh baju, serta dilarang membuat sebarang bentuk pergerakan atau bunyi.

“Disebabkan saya tidak boleh membasuh rambut, kepala saya menjadi gatal – tetapi apabila saya mula menggaru (kepala), perbuatan itu menghasilkan bunyi.

“Bernafas menerusi hidung, ‘meletupkan’ jari, bergerak ketika saya sedang tidur – semuanya dilarang,” dedah beliau.

Kehidupan sehariannya yang dikawal ketat bertambah buruk apabila Yasuda dituduh “mencuri dengar perbualan” militan ketika beliau menghasilkan bunyi ketika sedang membuang air.

Malah pada satu tahap, beliau sanggup untuk tidak makan selama 20 hari semata-mata untuk mengelak daripada melakukan sebarang pergerakan.

“Saya tinggal tulang dan kulit sahaja, rasa amat mual. Jika keadaan itu berterusan lebih lama, saya mungkin sudah mati, tetapi saya akhirnya dipindahkan ke tempat lain.

“Mereka tidak memberi saya makanan, atau jika mereka beri saya makanan dalam tin, mereka tidak menyediakan pembuka tin,” jelasnya.

Namun, beberapa minggu sebelum pembebasannya, Yasuda telah ditempatkan semula di ruang sempit tersebut, dan selepas itu dipindahkan ke sebuah ‘sel’ yang dilihat seperti rumah biasa.

Kemudian, beliau dibawa masuk ke dalam sebuah kenderaan, dan dihantar ke sempadan Turki.

Dalam perjalanan pulang menaiki pesawat dari Turki, Yasuda berkata:

“Saya gembira dapat pulang semula ke Jepun. (Namun) pada masa yang sama, saya tidak tahu apa akan berlaku dari sekarang atau apa yang saya patut lakukan.”

Sejurus tiba di Jepun, Yasuda yang berada dalam keadaan kurus kering, berjanggut, dan memakai baju T-Shirt hitam dan seluar berwarna gelap, hanya mampu memberikan senyuman lemah kepada wartawan-wartawan lain yang menanti ketibaannya, tanpa mengatakan apa-apa.

Sementara itu, kerajaan Jepun turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Qatar dan Turki di atas kerjasama mereka dalam memastikan pembebasan Yasuda.

 

Sumber: Reuters

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker