Isu SemasaTempatan

PDRM Bantu Keluarga Bekas Militan Pulang Semula Ke Malaysia

Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menyelamatkan tiga ahli keluarga kepada bekas anggota militan IS warga Malaysia yang ditinggalkan di Syria, dan membawa mereka pulang semula ke tanah air pada 6 Oktober.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, proses membawa pulang wanita bersama dua orang anaknya yang berusia 2 dan 5 tahun itu, mengambil masa hampir sebulan.

Menurut Mohamad Fuzi, misi menyelamat itu dapat dilaksanakan menerusi kerjasama mantap Organisasi Perisikan Kebangsaan Turki yang saling bertukar dan mengongsikan maklumat dengan polis Malaysia.

Ujar beliau, pihak polis telah merancang untuk membawa anak-beranak itu kembali ke Malaysia berikutan kematian suaminya yang merupakan pejuang IS, di dalam peperangan pada bulan Februari.

“Wanita ini tidak terlibat, PDRM akan berurusan dengan pihak tertentu dan menggunakan elemen yang ada bagi membantu wanita berkenaan dan anaknya,” katanya dalam satu sidang media khas di Bukit Aman, pada Khamis.

Sidang media tersebut turut dihadiri oleh Penolong Pengarah Counter-Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Dalam pada itu, Mohamad Fuzi turut menggesa rakyat tempatan yang berada di Syria supaya memfailkan permohonan untuk kembali ke Malaysia.

“Setakat ini, 102 rakyat Malaysia yang disyaki menyertai Daesh (nama lain bagi IS) didapati telah terkandas di negara bergolak (Syria) dan daripada jumlah itu, 37 telah maut termasuk dalangnya,” katanya dalam satu sidang media khas di Bukit Aman, pada Khamis.

“Saya menggesa mereka (rakyat Malaysia) yang berada di Syria untuk menghubungi polis Malaysia dan bagi mereka yang mahu pulang semula ke rumah dan pangkuan keluarga, kami akan cuba yang terbaik untuk membantu mereka.

“Perjuangan mereka untuk Daesh di Syria adalah sia-sia,” tegasnya.

Tambah beliau lagi pihak polis juga akan membantu mengaturkan penerbangan melalui Turki bagi individu-individu yang mahu pulang semula ke tanah air.

Jelas Mohamad Fuzi, ahli keluarga atau rakyat tempatan yang terperangkap di Syria boleh salurkan maklumat kepada Pusat Gerakan PDRM di talian 2266 3333/3444 bagi membolehkan bantuan diberikan termasuk urusan membawa pulang.

Sumber: The Sun Daily, Sinar Harian

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker