Antarabangsa

Parlimen Eropah Luluskan Larangan Penggunaan Plastik Beg Sekali Guna

Parlimen Eropah telah mengundi untuk melaksanakan larangan sepenuhnya ke atas penggunaan plastik sekali guna dalam usaha untuk menghentikan pencemaran laut.

Ahli Parlimen Eropah telah menyokong larangan pada bahan-bahan plastik seperti sudu dan garfu plastik, bekas makanan dan minuman plastik, serta pemegang belon dan pengacau kopi.

Salah satu Ahli Parlimen Eropah berkata, jika tindakan tidak diambil, “pada tahun 2050 akan ada lebih banyak plastik daripada ikan di lautan”.

Suruhanjaya Eropah mencadangkan larangan tersebut pada bulan Mei lepas, berikutan peningkatan sokongan orang awam yang didorong oleh dokumentari BBC Blue Planet David Attenborough.

Langkah ini masih perlu melepasi beberapa prosedur, tetapi akan tetap diteruskan. Kesatuan Eropah berharap ia dapat berkuatkuasa bermula 2021.

UK juga harus memasukkan peraturan itu ke dalam undang-undang negara jika larangan tersebut menjadi arahan sepenuhnya sebelum berakhirnya tempoh peralihan Brexit.

Selepas undi Parlimen disokong oleh 571-53, Ahli Parlimen Eropah yang bertanggungjawab bagi rang undang-undang, Frédérique Ries, berkata ia adalah “satu kemenangan untuk lautan kita, untuk alam sekitar dan untuk generasi akan datang.”

Beberapa negara telah pun mempertimbangkan cadangan untuk mengurangkan produk plastik sekali guna – termasuk UK.

Selain itu, terdapat juga rancangan untuk mengurangkan puntung rokok, iaitu satu pencemar plastik yang biasa dijumpai di pantai.

Syarikat pembuat rokok perlu mengurangkan plastik sebanyak 50% pada tahun 2025 dan 80% pada tahun 2030.

Satu lagi sasaran adalah untuk memastikan 90% daripada semua botol minuman plastik dapat dikumpul untuk dikitar semula pada tahun 2025.

Pada masa ini, botol dan penutup botol merangkumi 20% daripada semua plastik di laut, kata laporan Parlimen Eropah.

Penyelidik Eropah yang mengkaji topik pencemaran laut mengatakan kira-kira 150,000 tan plastik dibuang ke perairan Eropah setiap tahun.

Itu hanya penyumbang kecil kepada masalah global, dengan anggaran lapan juta tan plastik memasuki lautan dunia setiap tahun.

Plastik-plastik tersebut mempunyai kesan yang besar terhadap kehidupan marin.

Pencemaran laut boleh membunuh ikan dan mamalia akuatik yang besar. Ikan paus juga boleh makan beg plastik, menyebabkannya susah untuk makan makanan lain dan akhirnya boleh menyebabkan kematian.

Apabila serpihan plastik menjadi lusuh, ia akan menjadi kepingan yang lebih kecil dan lebih kecil, sehingga menjadi “mikroplastik”.

Serpihan kecil ini sering dimakan oleh ikan dan kemudian dimakan oleh manusia.

Sejumlah besar sisa plastik lautan yang terhampar di pantai, dimakan oleh burung laut dan haiwan lain dan ia  juga boleh membunuh mereka.

 

Sumber: BBC

Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker