Sukan

Harimau Malaya Mula Mendaki Tangga FIFA

Harimau Malaya akhirnya menunjukkan petanda positif di pentas antarabangsa selepas menaiki dua anak tangga, ke tempat ke-169 di dalam kedudukan dunia terkini FIFA.

Perkembangan terbaharu ini diumumkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melalui laman web dan saluran media sosial rasmi mereka awal pagi semalam.

Ini adalah satu berita gembira buat peminat dan penyokong bola sepak Malaysia selepas pasukan kebangsaan mereka tidak berganjak dari kedudukan ke-171 sejak bulan Mei berikutan prestasi memalukan mereka sebelum ini.

Penambahbaikan kedudukan dunia FIFA oleh pasukan kebangsaan ini hadir selepas kemenangan 4-1 Harimau Malaya ketika menentang Sri Lanka di Colombo pada 12 Oktober, sebelum tewas tipis kepada Kyrgyzstan yang berada di tangga ke-91 dunia pada 16 Oktober di Stadium Hang Jebat di Melaka.

Dalam perkembangan sama, Iran telah menjadi pasukan terbaik Asia apabila mereka menduduki tangga ke-30, naik tiga anak tangga, diikuti Australia (42), Jepun (50) dan Korea Selatan (53).

Bagi pasukan kebangsaan negara-negara Asia Tenggara pula, Vietnam kekal sebagai pasukan terbaik dengan menduduki tangga ke-102, diikuti Filipina (116) dan Thailand (121).

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker