AntarabangsaIsu Semasa

Apakah Peranan Akta Magnitsky Di Dalam Kes Pembunuhan Jamal Khashoggi?

Amerika Syarikat (AS) telah mengenal pasti dan mula mengambil tindakan terhadap individu-individu yang dipercayai terbabit dalam pembunuhan wartawan Washington Post warga Arab Saudi, iaitu Jamal Khashoggi.

Pada Selasa, Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo berkata, kerajaan AS juga telah membatalkan visa-visa mereka.

Menurut Pompeo, individu-individu terbabit terdiri daripada pegawai-pegawai Arab Saudi dari:

1. Perkhidmatan Perisikan 

2. Mahkamah Diraja 

3. Kementerian Luar

4. Kementerian-kementerian lain 

Walau bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan secara terperinci identiti-identiti suspek berkenaan.

Difahamkan, Jabatan Negara AS juga sedang bekerjasama dengan Jabatan Perbendaharaan untuk mengkaji kebolehgunaan sekatan-sekatan di bawah Akta Akauntabiliti Hak Asasi Manusia Global Magnitsky, terhadap individu-individu tersebut.

“Penalti-penalti ini tidak akan menjadi ‘kata-kata akhir’ AS mengenai perkara ini. Kami akan terus mencari langkah-langkah tambahan untuk memastikan mereka bertanggungjawab (terhadap kematian Khashoggi).

“Kita juga secara jelas menunjukkan bahawa AS tidak bertoleransi tindakan kejam ini untuk ‘mendiamkan’ Khashoggi, seorang wartawan, menerusi keganasan,” kata Pompeo.

Tambah Pompeo, beliau serta Presiden Donald Trump tidak gembira dengan situasi semasa, tetapi AS akan tetap terus menjalinkan hubungan yang kukuh bersama Arab Saudi.

APA ITU AKTA MAGNITSKY?

Akta Akauntabiliti Hak Asasi Manusia Global Magnitsky telah ditandatangani menjadi sebuah undang-undang oleh bekas presiden, Barack Obama pada bulan Disember 2012 berikutan pencabulan hak asasi manusia yang dilakukan oleh pihak berkuasa Rusia terhadap seorang peguam dan juruaudit bernama Sergei Magnitsky.

Undang-undang ini sekali gus memberi kuasa kepada Presiden AS untuk mengenakan sekatan yang sewajarnya kepada mana-mana individu yang didapati mencabul hak asasi manusia.

Pihak berkuasa Rusia telah menahan Magnitsky pada tahun 2008 susulan kerjasamanya dengan seorang pelabur bernama Williiam Browder, mendedahkan penipuan cukai besar-besaran bernilai AS$230 juta, yang dipercayai dilakukan oleh individu-individu yang mempunyai kaitan dengan kerajaan Kremlin.

Difahamkan, peguam itu telah dipukul ketika berada dalam tahanan dan meninggal dunia pada tahun 2009, hanya beberapa hari sebelum beliau sepatutnya dibebaskan.

Pada waktu itu, Akta Magnitsky menyasarkan 18 individu warga Rusia, di mana mereka telah diharamkan daripada memasuki AS dan terlibat dalam sebarang bentuk urus niaga perbankan di negara itu.

Pada tahun 2016 pula, Akta ini diperluaskan lagi untuk mengenakan sekatan atau larangan visa terhadap mana-mana individu yang melakukan pencabulan hak asasi manusia di seluruh dunia.

Menurut Mai El-Sadany, pengarah undang-undang di Tahrir Institute for Middle East Policy yang berpangkalan di Washington, undang-undang ini juga bertujuan untuk menghalang pencabul-pencabul hak asasi manusia daripada melakukan kesalahan yang sama pada masa akan datang.

“Akta Akauntabiliti Hak Asasi Manusia Global Magnitsky merupakan sebuah alat hak asasi manusia yang tidak pernah ada sebelum ini.

“Ia membolehkan Presiden Amerika Syarikat untuk mengenakan sekatan ke atas individu-individu yang terlibat dalam pencabulan hak asasi manusia,” kata El-Sadany.

BAGAIMANA UNDANG-UNDANG INI DIKUATKUASAKAN?

Setelah menerima surat daripada pengerusi dan anggota-anggota berpangkat di dalam Dewan Perwakilan atau jawatankuasa Senat, Presiden AS mempunyai 120 hari untuk menentukan sama ada seseorang individu asing telah melakukan pencabulan hak asasi manusia.

Laporan yang disediakan oleh Presiden kemudian akan diserahkan kepada jawatankuasa, dengan menjelaskan sama ada sekatan patut dikenakan atau tidak, serta jenis sekatan yang akan dilaksanakan.

Jawatankuasa Senat dalam Hubungan Luar berkata, di dalam konteks undang-undang tersebut, perbuatan-perbuatan yang dikategorikan sebagai ‘pelanggaran hak asasi manusia’ adalah “pembunuhan tanpa bicara, penyeksaan, atau pelanggaran luar biasa hak asasi manusia yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, terhadap individu-individu yang mahu mendapatkan, mengamalkan, mempertahankan, atau mempromosikan hak asasi manusia serta kebebasan, termasuk kebebasan bersuara.”

BAGAIMANA AKTA INI AKAN DIGUNA PAKAI DI DALAM KES PEMBUNUHAN KHASHOGGI?

Menurut Pompeo, Jabatan Negara AS akan mendapatkan nasihat daripada Kongres untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang terlibat dalam pembunuhan Khashoggi.

Seorang profesor dari American University, Jordan Tama berkata, pentadbiran AS juga boleh memilih untuk menguatkuasakan beberapa sekatan untuk ‘menghalang’ Kongres daripada mengambil tindakan yang lebih berat ke atas Arab Saudi.

Selepas Pompeo mengumumkan larangan perjalanan ke AS terhadap beberapa individu terbabit, Tama menyatakan bahawa langkah seterusnya yang akan diambil adalah mengenakan sekatan kewangan, yang membabitkan pembekuan akaun dan aset.

“Anggota-anggota Kongres tidak akan berpuas hati dengan larangan visa semata-mata sekiranya AS mempercayai bahawa beberapa orang pegawai (kerajaan) Arab Saudi bertanggungjawab melakukan pembunuhan ini.

“Mereka (Kongres) mahukan sekatan dari segi kewangan, yang dilihat sebagai sekatan yang lebih signifikan. Mereka juga mahu mengetahui siapa yang disekat dan ‘berapa tinggi’ kedudukan mereka,” ujar Tama.

Bukan itu sahaja, malah tambah beliau lagi, Kongres juga mungkin akan mempertimbang untuk meluluskan sebuah undang-undang yang akan mengehadkan penjualan senjata kepada Arab Saudi atau menangguhkan perjanjian senjata sedia ada.

APAKAH IMPAK SEKATAN INI TERHADAP HUBUNGAN AS-SAUDI?

Penguatkuasaan Akta Magnitsky dilihat sebagai ‘tamparan hebat’ terhadap hubungan AS-Saudi oleh ramai pihak.

Walaupun Trump menyatakan bahawa beliau tidak menjumpai sebab untuk menyekat pelaburan Arab Saudi di AS, siasatan yang bakal dilaksanakan terhadap kes ini berpotensi membawa kepada sekatan ekonomi dan politik terhadap individu-individu berkenaan di Arab Saudi.

James Zogby, pengasas dan presiden Arab American Institute di Washington berkata, kes Khashoggi telah membwa kepada “perubahan pandangan umum yang ketara” terhadap Arab Saudi, bukan hanya dalam kalangan rakyat AS, tetapi juga dalam kelompok Senat.

Jelas Zogby, kes pembunuhan wartawan itu akan terus ‘menghantui’ negara arab tersebut tidak kira sama ada Trump mengenakan sekatan ke atasnya atau tidak.

“Secara jelasnya di dalam Senat, di mana Kongres boleh bertindak tanpa presiden, akan ada akibatnya (kesan buruk).

“Ini adalah satu kebimbangan bagi Arab Saudi, kerana menjalinkan hubungan baik bersama Presiden Trump tidak bermakna ia akan mendapat ‘pas percuma’ daripada Senat,” kata Zogby.

 

Sumber: Al-Jazeera

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker