AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Nguyen Phu Trong, Individu Paling Berkuasa Di Vietnam

Pada Selasa, 23 Oktober 2018, ketua Parti Komunis Vietnam, Nguyen Phu Trong telah dilantik menjadi Presiden baru negara itu setelah mendapat 99.8% undian daripada anggota-anggota Parlimen.

Trong juga merupakan individu pertama untuk memegang jawatan ketua parti dan presiden negara pada satu masa, sejak pemerintahan Ho Chi Minh pada lewat tahun 1960an.

Pemilihan presiden baru ini dilaksanakan berikutan kematian bekas pemimpin, Tran Dai Quang yang meninggal dunia pada bulan September lalu akibat ‘penyakit berpanjangan dan serius’.

Daripada 478 ahli parlimen, Trong telah meraih sokongan daripada 477 orang, manakala hanya seorang sahaja yang membantah pelantikannya.

“Saya, Presiden Vietnam berikrar untuk taat sepenuhnya kepada negara, rakyat dan Perlembagaan.

“Ini adalah satu penghormatan yang besar, dan pada masa yang sama, tanggungjawab yang amat berat bgi saya,” kata beliau di majlis pelantikannya sebagai presiden.

Selepas kematian Quang, Ahli-ahli Jawatankuasa Pusat Parti Komunis sebulan suara mencadangkan hanya nama Trong sahaja sebagai pengganti baru.

Difahamkan, pentadbiran Vietnam mempunyai “empat tiang” yang terdiri daripada jawatan-jawatan tertinggi di negara tersebut iaitu Ketua Parti Komunis, Presiden, Perdana Menteri, dan Pengerusi Perhimpunan Kebangsaan.

Memandangkan Trong kini memegang dua jawatan utama daripada “empat tiang” kepimpinan itu, ini sekali gus memberi kuasa yang besar kepada beliau di dalam pentadbiran kerajaan.

Menurut penganalisis, pemimpin baru itu dijangka akan menggunakan kuasanya untuk meneruskan kempen anti-rasuah yang telah dilancarkan sejak pelantikan semula beliau sebagai Ketua Parti Komunis pada tahun 2016.

Di bawah kempen itu, ramai pegawai kanan kerajaan, serta golongan eksekutif dan pegawai bank telah dipenjarakan.

Bukan itu sahaja, malah kepimpinannya juga mengambil tindakan keras terhadap pengkritik-pengkritik kerajaan, di mana lebih daripada 55 orang dikenakan hukuman penjara pada tahun ini.

Sementara itu, duta Amerika Syarikat ke Vietnam, Daniel Kritenbrink telah menzahirkan ucapan tahniah ke atas pelantikan Trong sebagai presiden baru.

“Kami akan terus bekerjasama rapat dengan Presiden Trong untuk mengukuhkan dan mengembangkan lagi Perkongsian Komprehensif AS-Vietnam,” katanya Kritenbrink dalam satu kenyataan.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker