Isu SemasaPolitikTempatan

Jika Satu Perkara Ini Terjadi, MCA Akan Keluar Daripada BN

Malaysian Chinese Association (MCA) bakal mengadakan pemilihan parti pada bulan November nanti dan pemilihan kali ini akan memainkan peranan kritikal dalam menentukan hala tuju parti itu pada masa akan datang.

Salah seorang calon presiden, Gan Ping Sieu berikrar sejurus beliau memenangi jawatan tertinggi dalam pemilihan parti nanti, beliau akan mengeluarkan MCA daripada Barisan Nasional (BN) dengan serta merta.

Beliau turut menyatakan bahawa mulai Pilihan Raya Umum (PRU) yang seterusnya, dua pemimpin utama MCA akan “memimpin melalui teladan” dengan bertanding di kawasan-kawasan yang mempunyai majoriti pengundi Cina.

Gan yang juga Ketua Bahagian Kluang berkata, antara perkara pertama yang akan dilakukan selepas dilantik menjadi presiden adalah merombak dan mengukuhkan lagi MCA, demi “mengembalikan semula maruah parti itu.”

Jelas beliau, pertama sekali, MCA perlu berani untuk keluar daripada BN memandangkan UMNO sedang bekerjasama dengan PAS dan semakin cenderung ke haluan kanan.

“Oleh itu, kami berharap agar wakil-wakil akar umbi akan menganggap pemilihan parti yang akan datang ini sebagai satu referendum.

“Sejurus kami menang, kami akan keluarkan parti (MCA) daripada Barisan dengan serta merta,” tegas Gan.

Sementara itu, beliau turut menggesa anggota-anggota parti supaya tidak membiarkan MCA terus ‘merana’ hanya kerana bimbang tidak mendapat sokongan UMNO.

Tambahnya lagi, sistem pelbagai parti (multi-party sistem) akan terlaksana seiring dengan waktu, di mana tidak akan ada lagi hanya sebuah parti sahaja yang akan membuat keputusan.

Ujar Gan, apabila MCA sudah memenangi semula kepercayaan dan sokongan rakyat, ia tidak perlu risau tentang kekurangan dari segi rakan-rakan parti.

Sementara itu, seorang lagi calon presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong memberi jaminan bahawa sekiranya beliau memenangi jawatan itu, partinya akan terus kekal bersama BN.

Perkara ini dinyatakan oleh bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang telah mendapatkan pengesahan daripada Wee sendiri.

“Bagi saya, saya dah rujuk kepada Wee Ka Siong, beliau cakap dia (MCA) akan bersama dengan BN,” katanya.

Khairy turut meluahkan keyakinannya bahawa Wee akan menang sebagai presiden MCA, dan seterusnya akan bersama UMNO serta parti perikatan lain untuk memulihkan dan menguatkan semula BN.

“Saya dah bincang dengan Wee yang merupakan calon yang saya rasa berkemungkinan besar dia menang.

“Yang mana kelemahan dalam BN sama ada UMNO, MCA dan sebagainya kita akan berdepan bersama tapi janganlah cakap nak tinggalkan BN dan sebagainya,” jelasnya.

Sumber: The Sun Daily, Astro Awani

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker