Sukan

Belia Palestin Redah Laut Tercemar Untuk Berlatih Berenang

Di sebuah pantai yang dikira sebagai antara yang paling tercemar di dunia, 30 orang belia Palestin berlatih di persisiran pantai Semenanjung Gaza, masing-masing mengimpikan kemahsyuran Sukan Olimpik.

Mereka yang berumur di antara 11 dan 16 tahun menjadi anggota kelab renang, sesuatu yang jarang di lihat di wilayah bergolak itu.

Jurulatih Amjad Tantish memberi kata-kata peringatan dan tunjuk ajar ketika sesi memanaskan badan sebelum melepaskan anak-anak didiknya ke dalam air.

Keadaan air tidak begitu bagus; ombaknya membuatkan sesi latihan menjadi sukar, ditambah dengan kekurangan peralatan.

Tetapi Tantish menjelaskan bahawa tidak ada kolam renang awam yang percuma di Semenanjung Gaza, jadi mereka terpaksa mencuba nasib berlatih di pantai.

“Kami tidak mempunyai sebaran peralatan asas, seperti gogal dan pakaian renang,” ujar Tantish. “Kami tidak mempunyai sebarang bentuk dana.”

Laut Mediterranean menjangkaui keseluruhan sempadan barat Semenangjung Gaza yang berukuran 40km, tetapi hampir tiada seorang pun yang mahu mandi di sana.

Ketiadaan tenaga elektrik dan kekurangan infrastruktur permbersihan yang amat-amat diperlukan bermakna hampir 100 juta liter air kumbahan yang tidak dirawat mengalir ke dalam laut setiap hari, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Di kawasan-kawasan yang paling tercemar, air lautnya berwarna coklat.

Lebih daripada 95 peratus air paip tercemar, dan penyakit berkaitan air menjadi penyebab utama kematian kanak-kanak di Gaza, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Impian Olimpik

PBB mengatakan situasi ini terjadi disebabkan terutamanya kerana sekatan yang ketat Israel di darat dan laut Gaza.

Israel mengatakan langkah-langkah itu adalah perlu bagi mengasingkan Hamas, kumpulan pelampau Islam yang memerintah Gaza, yang telah bertempur di dalam tiga peperangan sejak 2008.

Israel menuduh kumpulan itu membelanjakan dana daripada bantuan antarabangsa ke atas senjata dan pertahanan.

Israel telah merampas berpuluh-puluh peralatan renang dan berkata Hamas akan menggunakannya untuk menyeludup perlatan ketenteraan ke Gaza.

Tetapi bagi mereka yang masih mahu mandi di pantai itu, pakar alam sekitar berkata pantai berdekatan Beit Lahia di utara Gaza mempunyai kadar pencemaran paling rendah.

Jadi ahli-ahli kelab renang ini berlatih di sana beberapa kali seminggu, demi mencapai impian mereka.

Tantish berkata pasukannya mengimpikan untuk bertanding di Sukan Olimpik Tokyo 2020, tetapi dia tahu itu adalah tidak mungkin.

Untuk mendapatkan visa bagi meninggalkan Gaza melalui Israel sudah menjadi satu cabaran yang sangat besar.

“Kami mempunyai banyak peluang untuk menyertai kem latihan dan pertandingan di Arab, tetapi perjalanannya akan menjadi cabaran besar,” tambahnya lagi.

Jawatankuasa Olimpik Palestin hanya dapat menghantar enam orang atlet pada Sukan Olimpik 2016 yang lalu.

Empat daripada mereka, termasuk dua orang perenang, diundang untuk menyertai temasya itu, walaupun tidak memenuhi syarat penyertaan minimum.

Tetapi mereka mempunyai akses kepada kolam renang, dan mereka tidak berada di Gaza.

Abdul Rahman, 15 tahun berkata dia berharap untuk menjadi “seorang wira dan mendapat tempat pertama di dalam pertandingan antarabangsa”.

Pantang larang sosial

Aktiviti yang melibatkan lelaki bersama wanita amat jarang dilihat di Gaza, terutamanya di arena sukan.

Tantish yang berumur 42 tahun berkata dahulu ia adalah sesuatu yang “tidak boleh diterima, kami menghadapi pelbagai kesukaran dan masalah.”

Tetapi kini, keadaan sudah berubah.

“Para keluarga menghantar anak perempuan mereka ke kelas latihan renang dan bilangan peserta wanita telah meningkat kepada 30 peratus.

Rania, 32 tahun ketika sedang berjalan di pantai itu bersama suaminya, berhenti seketika untuk menyaksikan latihan renang yang sedang dijalankan.

“Saya tidak rasa menjadi seorang yang kuat agama menghalang anak gadis kita daripada menjadi seperti orang lain, atau mempunyai cita-cita yang murni,” ujarnya.

Kebanyakan gadis yang menyertai kami pada tahun ini melakukannya dengan inisiatif mereka sendiri, ujar Tantish.

Rugiya, 14 tahun berkata dia suka dengan suasana di kelab itu.

“Saya mula belajar untuk berenang tiga tahun yang lalu, dan hanya baru-baru ini saya menyertai sebuah pasukan. Keluarga saya memberikan sokongan mereka dan saya dapat berlatih dan bermain bersama-sama rakan di dalam air.

Dia bercita-cita untuk menjadi seorang perenang profesional.

“Kami mahukan kolam renang yang besar terutamanya kerana mahu berlatih untuk Sukan Olimpik.”

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker