AntarabangsaIsu Semasa

Teksi Udara Volocopter Bakal Diuji di Singapura

Penduduk Singapura mungkin tidak perlu menunggu lama untuk melihat teksi terbang apabila syarikat Jerman, Volocopter mengumumkan akan melakukan beberapa ujian penerbangan teksi udara di Republik itu pada separuh kedua 2019.

Ujian penerbangan itu direka untuk mengesahkan dan memastikan keupayaan kenderaan Volocopter untuk beroperasi di persekitaran bandar Singapura.

Teksi udara itu menyerupai sebuah helikopter, tetapi berdasarkan teknologi dron dan boleh menerbangkan dua orang penumpang untuk kira-kira 30km. Volocopter direka khusus untuk kegunaan dalam bandar dan boleh membawa 160kg.

Dalam satu kenyataan, syarikat itu berkata ujian yang akan berakhir dengan penerbangan di tempat awam, disokong oleh Kementerian Pengangkutan, Lembaga Pembangunan Ekonomi dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS).

Syarikat Jerman itu turut berkata ia akan menubuhkan satu pasukan reka bentuk dan kejuruteraan produk di Singapura untuk menyokong rancangan pengembangannya.

Related image

Sebagai tindak balas kepada pertanyaan dari The Straits Times, Volocopter berkata ujian di Singapura akan memberi tumpuan kepada keupayaan kenderaannya untuk melakukan penerbangan dalam bandar negara itu dan CAAS akan membantu menyediakan fasiliti dan lokasi.

Volocopter boleh diterbangkan dengan juruterbang, atau tanpa pemandu melalui kawalan jauh atau secara autonomi.

Bagi ujian penerbangan di Singapura, syarikat akan bekerjasama dengan CAAS untuk menentukan mod penerbangan mana yang terbaik untuk keadaan di negara terbabit.

Terdahulu dilaporkan bahawa Volocopter sedang mencari rakan kongsi pemaju hartanah dan pembekal mobiliti untuk mewujudkan infrastruktur yang dapat menyokong ujian penerbangan.

Jurucakap Volocopter berkata sementara teksi udaranya kini tidak digunakan secara komersial, ia memberi tumpuan kepada “mencapai pensijilan komersil untuk beroperasi sebagai teksi udara”.

“Kami mengharapkan laluan teksi komersial pertama untuk dibuka dalam tempoh tiga hingga lima tahun. Kami sedang berbincang dengan bandar raya di seluruh dunia termasuk beberapa Bandar di Jerman.”

“Bagaimanapun, pada masa ini, kita tidak boleh membuat anggaran di mana laluan pertama akan dibuka,” kata jurucakap itu.

Pada September tahun lepas, Volocopter melakukan penerbangan ujian tanpa pemandu secara awam di Dubai, di mana ia bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Jalan dan Pengangkutan negara.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker