Gaya HidupKesihatan

Saintis Kenal Pasti Gen Penyebab Mati Pucuk

Penyelidik telah mengenal pasti varian genetik yang menjadi salah satu penyebab kepada masalah disfungsi ereksi (ED). Penemuan ini adalah satu perkembangan yang boleh membantu meningkatkan rawatan, menurut satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal AS.

Lelaki yang mempunyai salinan varian ini mempunyai 26 peratus peningkatan risiko menghadapi masalah mati pucuk berbanding dengan individu biasa, kata penemuan dalam Prosiding Akademi Sains Kebangsaan.

Mereka yang mempunyai dua salinan varian itu pula menghadapi 59 peratus risiko yang lebih tinggi, menurut ahli genetik Eric Jorgenson, penulis utama kajian itu.

Hasil kajian adalah berdasarkan kepada pangkalan data 36,649 orang penghidap masalah disfungsi ereksi di Kaiser Permanente Northern California.

Risiko individu biasa adalah satu daripada lima lelaki, menurut kajian 2007 di Amerika Syarikat, tetapi nisbah meningkat dengan ketara seiring peningkatan usia.

Kira-kira satu pertiga daripada risiko disfungsi ereksi dikaitkan dengan faktor genetik. Menurut kajian baru ini, varian genetik yang dikenal pasti menyumbang dua peratus daripada risiko.

Obesiti, diabetes dan penyakit kardiovaskular semuanya mempunyai komponen genetik dan juga dikaitkan dengan risiko disfungsi ereksi.

“Kami tahu bahawa terdapat faktor lain untuk masalah ini termasuk merokok, obesiti, diabetes dan penyakit kardiovaskular, dan lelaki yang menangani faktor tersebut dapat mengurangkan risiko ED,” kata Jorgenson kepada AFP.

“Kerana rantau yang kita kenal pasti dalam genom manusia muncul untuk bertindak secara bebas daripada faktor-faktor risiko tersebut, membangunkan rawatan baru yang mensasarkan variasi dalam lokasi genetik ini berpotensi untuk membantu mereka yang gagal dalam rawatan semasa.”

Beliau menyatakan bahawa kira-kira 50 peratus lelaki tidak mendapat bertindak balas positif terhadap rawatan disfungsi ereksi yang ada sekarang.

Keputusan kajian telah disahkan dengan mengkaji pangkalan data kedua di Britain.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker