Bisnes & Ekonomi

Kejayaan Teh Hong Piow, Hartawan Pengasas Public Bank

Pengasas dan pengerusi Public Bank Tan Sri Dato Sri Dr. Teh Hong Piow baru-baru ini telah memperoleh satu lagi pengiktirafan apabila terpilih untuk Anugerah ‘The BrandLaureate Hall of Fame – Lifetime Achievement Award 2018 – Man of The Year’ daripada Yayasan Asia Pacific Brands.

Masa Kecil Tan Sri Teh Hong Piow

Tan Sri Teh Hong Piow merupakan anak sulung yang dilahirkan pada 14 Mac 1930 dalam sebuah keluarga sederhana di Singapura.

Ayah beliau yang berasal dari wilayah Guangdong, China datang ke Malaya pada usia 15 tahun dan bekerja sebagai tukang masak. Ayah beliau berusaha dan mengumpul duit untuk menjadi seorang jurujual dan berniaga hampir segala perkara yang boleh seperti jam, cermin mata, sayur dan buah-buahan.

Ibu Tan Sri pula meninggal dunia sewaktu beliau berusia 6 tahun dan sejak itu beliau perlu menggalas tanggungjawab menjaga adik-beradiknya. Menurut beliau, ini telah membuatnya menjadi seorang yang penyayang pada usia yang sangat muda.

Ayah Tan Sri kemudiannya berkahwin semula dan keluarganya berkembang menjadi enam lelaki dan tiga perempuan.

Dengan keluarga semakin besar, beliau terpaksa menjadi sangat berhati-hati dan menjaga kewangan keluarga yang hanya ‘cukup-cukup makan’ ketika itu.

Tan Sri membesar dengan mengenal erti bagaimana rasanya menjadi miskin dengan memakai pakaian pemberian orang lain. Pakaian tersebut sama ada besar, lusuh dan adakalanya dijahit semula dengan kain lain.

Tan Sri di sekolah menjadi ‘Boys Brigade’ Sumber Gambar: TheStar

Semasa di bangku persekolahan, beliau diberi wang saku sangat sedikit sehingga tidak mampu membeli makanan di kantin sekolah dan hanya mengisi perut dengan roti yang dibawanya dari rumah.

Apabila wang saku yang dikumpulnya mencukupi, beliau akan menggunanya untuk membeli mee daging atau mee siam kegemaran.

Walaupun Tan Sri merupakan pelajar yang cerdik di sekolah, tetapi beliau tidak mampu untuk meneruskan pembelajarannya setelah tamat persekolahan.

Beliau sebagai anak sulung dalam keluarga harus membantu ayahnya dalam perniagaan tetapi beliau tetap ingin mendapat keuntungan untuk dirinya sendiri melalui hobi fotografi.

Semasa zaman Jepun pula, beliau menjual rokok di kaki lima bagi menampung perbelanjaan keluarganya.

Kemudiannya beliau terjun ke dalam pelbagai bidang yang berlainan seperti perlombongan tin, pelancongan, pakaian dan tekstil serta sektor hartanah. Namun tiada satu pun yang melekat di jiwanya sehinggalah beliau mendapat kerja di bank.

Kejayaan Beliau Mendirikan Bank

Pada usia 20 tahun, Tan Sri memulakan kerjayanya sebagai kerani di Oversea Chinese Banking Corporation dengan hanya S$130 sebulan, gajinya semasa itu lebih rendah dari gaji isterinya yang bekerja sebagai guru.

Tan Sri Teh di pejabat beliau Sumber Gambar: TheStar

Walau bagaimanapun objektif utamanya sewaktu itu bukanlah untuk mendapat gaji tetapi untuk belajar tentang perbankan.

Dek kerana semangat dan kerja kerasnya, beliau berjaya dinaikkan pangkat kepada pegawai setelah 5 tahun. Beliau kemudiannya bekerja di Maybank dan dilantik sebagai pengurus pada usia yang boleh dikatakan muda iaitu 34 tahun.

Pada 6 Ogos 1966, pada usia hanya 36 tahun Tan Sri Teh telah memiliki bank sendiri iaitu Public Bank dan telah dilantik sebagai Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Public Bank.

Setelah itu, Public Bank disenaraikan dalam Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) pada tahun 1967 dan telah menjadi bank ketiga terbesar di Malaysia sehingga kini tanpa mencatatkan kerugian.

Perdana Menteri Pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj bersalaman dengan Tan Sri Teh Hong Piow semasa perasmian pembukaan Public Bank pada 4 April 1967.

Walaupun Kumpulan Public Bank adalah kumpulan perbankan ketiga terbesar di Malaysia dengan kira-kira US$41.76 bilion dalam jumlah aset di Malaysia dengan nisbah pinjaman tidak berbayar yang terendah, mereka merupakan bank domestik terbesar di Malaysia dalam wang pemegang saham.

Kini, Public Bank mempunyai 259 cawangan tempatan dan 3 anak syarikat di luar negara iaitu di Hong Kong (Public Bank (Hong Kong) Limited), di Kemboja (Cambodian Public Bank Plc) dan di Vietnam (Public Bank Vietnam Limited). Public Bank juga mempunyai 4 cawangan di  Laos, 3 cawangan di China dan 3 lagi cawangan di Sri Lanka.

Pada tahun ini, Kumpulan Public Bank memulakan 2018 dengan nota positif dengan mencatatkan keuntungan bersih RM1.41 bilion pada suku pertama, meningkat 12.6 peratus berbanding RM1.25 bilion dalam suku sama tahun lalu dan terus menguasai bahagian pasaran utama dalam negeri dalam pembiayaan hartanah kediaman dan pemberian pinjaman komersial kepada perusahaan kecil dan sederhana.

Kekayaan Teh Hong Piow

Teh adalah salah satu daripada tiga individu di Malaysia yang dibenarkan memegang lebih daripada 10% saham dalam institusi kewangan domestik.

Menurut Forbes, pada usia 88 tahun tahun ini, kekayaan beliau dilaporkan bernilai $6.3 billion (RM 26.2 biliion) dan beliau kini berada di tangga ke-289 dalam senarai jutawan (billionaire) dunia dan merupakan orang ke-4 terkaya di Malaysia.

‘Lifetime Achievement Award 2018 – Man of The Year’

Tan Sri Teh yang terkenal sebagai seorang ‘boss’ yang sentiasa menjaga kebajikan pekerja maka pekerja mempunyai prestasi yang baik atas kerja mereka.

Anugerah khas yang diterima beliau tahun ini adalah sebagai mengiktiraf keyakinan, keazaman, semangat tinggi dan tidak mudah luntur Teh dalam membina jenama Public Bank ke tahap tertinggi.

Teh dalam ucapan penerimaan anugerahnya berkata untuk menjadi seorang usahawan bukanlah mudah, namun menjadi seorang yang memiliki ‘jenama’ memerlukan seseorang itu mempunyai kepercayaan yang teguh terhadap jenamanya selain menyuntik semangat keusahawanan yang baik bagi memenangi hati, fikiran dan kepercayaan pelanggan.

“Untuk sesebuah organisasi itu menjadi peneraju jenama, ia bukan sekadar satu cara untuk memikirkan soal perniagaan semata-mata.

“Ia juga adalah cara bertindak dan terus menjunjung prinsip dan nilai yang menjadi terasnya. Oprah Winfrey, pernah berkata, “Jadikan kecemerlangan jenama anda. Apabila anda cemerlang, anda tidak akan dilupakan.”

“Mungkin ada yang berpendapat bahawa cara saya adalah ‘cara lama’ dari segi bagaimana kami menjalankan perniagaan. Namun saya percaya, nilai-nilai yang penting seperti integriti, kerja keras, komitmen dan semangat profesionalisme merupakan  ‘jenama peribadi’ seseorang,” katanya.

Teh turut mendedikasikan anugerah tersebut kepada kakitangan beliau yang bekerjasama dengannya sejak dahulu hingga sekarang.

“Mereka ini adalah hero tidak didendang yang telah membantu saya untuk membina sebuah bank yang berjaya.

“Idea boleh dicuri tetapi tiada siapa pun yang boleh mencuri pelaksanaan dan semangat yang tinggi yang menjadi mercu kejayaan Public Bank,” ujarnya.

Sehingga kini, Public Bank telah menerima lebih daripada 580 anugerah kecemerlangan dan kepujian korporat, sementara Teh pula telah mengumpul sejumlah 40 anugerah khas atas pencapaian dan kepemimpinan beliau yang menjadi teladan.

Persaraan Tan Sri Dato Sri Dr. Teh Hong Piow

Hong Piow, yang juga Pengerusi Bukan Eksekutif Public Islamic Bank Bhd (PIBB) dan Public Investment Bank Bhd (PIVB), telah bersara sebagai pengerusi di kedua-dua anak syarikat milik penuh Public Bank itu pada 1 Januari 2018 dan memegang jawatan Pengarah Bukan Eksekutif mulai tarikh yang sama.

Beliau juga telah mengumumkan pelepasan jawatannya sebagai Pengerusi Kumpulan Public Bank pada 1 Januari 2019 akan datang.

Walau bagaimanapun, sebagai menghargai sumbangannya, beliau akan dianugerahkan jawatan Pengerusi Emeritus pada 1 Januari 2019 apabila bersara sebagai pengerusi bank itu, ketiga terbesar di Malaysia.

Menurut Lembaga Pengarah Public Bank, sumbangan Hong Piow tiada tolok bandingnya kepada bank itu sejak 51 tahun lalu selepas mengasaskan bank itu pada 30 Disember 1965.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker