AntarabangsaIsu Semasa

Arab Saudi Ikrar Laksana “Siasatan Komprehensif” Kematian Jamal Khashoggi

Hari ini, Menteri Luar Arab Saudi, Adel al-Jubeir yang kini berada di Indonesia untuk lawatan rasmi, berikrar bahawa kerajaan negaranya komited untuk melaksanakan “siasatan komprehensif” ke atas pembunuhan wartawan terkemuka, Jamal Khashoggi di Turki.

Beliau berkata, Arab Saudi telah pun menghantar satu pasukan siasatan khas ke Turki dan memberi jaminan bahawa semua dalang disebalik insiden itu akan ditahan.

Difahamkan, Khashoggi merupakan kolumnis di Washington Post, dan beliau juga adalah pengkritik tegar kerajaan Arab Saudi.

Wartawan itu dilaporkan hilang apabila beliau memasuki Kedutaan Saudi di Istanbul pada 2 Oktober bagi mendapatkan dokumen perkahwinannya.

Sebelum ini juga, Arab Saudi, dituduh bertanggungjawab melakukan pembunuhan itu, di mana arahan didakwa dikeluarkan oleh Putera Mahkota, Mohammed Bin Salman.

Negara tersebut menafikan penglibatannya dan pada asalnya mendakwa bahawa Khashoggi telah keluar meninggalkan kedutaan berkenaan.

Selepas pelbagai tekanan di peringkat antarabangsa, Arab Saudi mengeluarkan kenyataan baru bahawa Khashoggi telah terbunuh dalam sebuah pergaduhan yang berlaku di dalam kedutaan.

Namun, perkara tersebut dilihat tidak masuk akal dan menimbulkan keraguan beberapa kerajaan negara Barat, kerana Khashoggi dibunuh dengan begitu kejam, di mana mayatnya juga dipotong kepada beberapa bahagian.

Presiden Indonesia, Joko Widodo atau lebih mesra dikenali sebagai Jokowi, berharap agar siasatan berhubung kematian Khashoggi dialkukan secara “telus dan menyeluruh”.

Sementara itu, Perikatan Wartawan Bebas Indonesia turut menggesa masyarakat antarabangsa untuk memantau proses undang-undang terhadap individu-individu yang didakwa melakukan pembunuhan tersebut.

“Masyarakat antarabangsa perlu mengambil bahagian dalam memastikan pesalah dihukum secara adil dan bebas,” kata Pengerusinya, Abdul Manan.

Tegas beliau lagi, kes ini juga perlu dibawa ke Mahkamah Antarabangsa.

 

Sumber: Reuters, Jakarta Post

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker