Isu SemasaTempatan

Pemandu Teksi Biadap Diupah Oleh “Pihak Tertentu”?

Pada Ahad, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah mengadakan pertemuan bersama Persatuan Pemandu Teksi di Langkawi.

Walau bagaimanapun, perjumpaan itu bertukar menjadi huru-hara buat seketika apabila segelintir pemandu menzahirkan bantahan mereka terhadap pandangan Dr. Mahathir mengenai perkhidmatan e-hailing, Grab dengan cara yang amat biadap.

Difahamkan, selepas Perdana Menteri menyatakan bahawa beliau akan terus berusaha mencari jalan penyelesaian terbaik demi manfaat semua pihak, kira-kira 10 orang pemandu teksi bertindak keluar dari bilik pertemuan sambil memaki hamun beliau.

Dr. Mahathir berkata, beliau hanya mahu membantu untuk memulihkan semula sumber pendapatan mereka.

Memetik laporan Malay Mail Online, keadaan mula reda selepas dua minit dan kemudian, pemimpin Malaysia itu mengeluarkan satu kenyataan yang ternyata menunjukkan bahawa beliau kesal dengan sikap individu-individu yang tidak bertanggungjawab itu.

“Kalau tak percaya saya boleh buat, buat sendirilah. Tengok apa jadi. Saya nak tolong. Tapi kalau tak ada bantuan (kerjasama) kepada saya, saya tak boleh tolonglah.

“Saya bukan nak jadi perdana menteri. Saya bersara dah tapi orang panggil balik. Sebab itu saya datang. Kalau tak nak saya jadi perdana menteri hari ini pun saya letak jawatan. Tak ada masalah bagi saya,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Pertubuhan Kesepakatan Pemandu Teksi, Kereta Sewa, Limo Premier Executive Jiwa Malaysia (Perjiwa Malaysia), Zailani Isaisuludin menegaskan bahawa pemandu-pemandu yang mencetuskan kekecohan itu tidak tergolong di dalam pertubuhannya.

Jelas beliau, insiden yang berlaku memang tidak diduga, dan ia mungkin adalah perbuatan “sabotaj” daripada pihak-pihak tertentu.

Bukan itu sahaja, malah ujar Zailani, beliau tidak mengenali individu-individu tersebut, dan mereka mungkin telah diupah untuk berbuat demikian.

“Berhubung kenyataan berkenaan 10 pemandu teksi mengeluarkan kata-kata kesat dan buat bising serta keluar dewan semasa PM berucap berhubung isu e-hailing sehingga PM hampa, saya menyangkal bahawa 10 orang terbabit bukan ahli Perjiwa Malaysia. Saya pun tidak kenal mereka.

“Mungkin mereka diupah oleh pihak tertentu untuk membuat kacau pada majlis itu. Bukan ahli Perjiwa yang buat PM rasa kecil hati, itu bukan tindakan kita tetapi tindakan segelintir yang diupah oleh pihak-pihak tertentu untuk merosakkan keharmonian majlis hari ini,” kata beliau kepada Astro Awani.

Sementara itu, Zailani turut berharap agar isu tersebut tidak diperbesar-besarkan lagi memandangkan pihaknya telah pun memohon “ampun dan maaf” kepada Dr. Mahathir selepas tamatnya majlis itu.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker