Baru-baru ini, Insittut Analisis Dasar KonflikĀ (IPAC) yang berpangkalan di Jakarta, Indonesia, menyatakan bahawa kumpulan militan tempatan, Jamaah Ansharut Daulah (JAD) yang telah bersumpah taat setia kepada pengganas IS, masih kekal sebagai ancaman di negara itu.
Di dalam laporan terbaru IPAC yang diterbitkan pada Khamis lepas (18 Oktober), JAD dijangka akan terus melancarkan serangan walaupun pihak berkuasa Indonesia sedang memburu anggota-anggotanya di seluruh negara berikutan serangan bom berani mati di Surabaya pada bulan Mei lalu.
“Kekalahan IS di Timur Tengah tidak mematahkan semangat penyokong-penyokong IS untuk mencetuskan peperangan di tanah air memandangkan mereka tidak lagi mampu pergi ke Syria,” kata pengarah IPAC, Sidney Jones.
Menurut institut itu lagi, serangan pada masa akan datang mungkin akan berlaku di luar Jawa Timur, khususnya di kawasan-kawasan sekitar sempadan Jawa Barat-Jawa Tengah, seperti Cirebon, Indramayu, dan Tegal.
Kawasan-kawasan itu disifatkan oleh para penyeldidik sebagai wilayah yang mempunyai “ramai penyokong pengganas yang masih aktif”.
Difahamkan, lokasi-lokasi berkenaan juga telah ‘melahirkan’ ramai anggota pengganas sejak serangan di Jakarta pada Januari 2016.
Bukan itu sahaja, malah IPAC berkata, bencana gempa bumi-tsunami yang melanda Sulawesi pada 28 September bulan lalu turut menyebabkan segelintir banduan berjaya melarikan diri.
“Ia juga tidak mustahil bahawa pelampau boleh melihat kawasan itu sebagai tapak merekrut (anggota baru) yang ‘subur’,” jelas. laporan institut tersebut.