Bisnes & EkonomiTempatan

Kilang Milo “Terbesar Di Dunia” Terima Pelaburan Lebih RM100 Juta

Syarikat Nestle (Malaysia) Berhad akan membuat pelaburan bernilai lebih daripada RM100 juta bagi mengembangkan lagi kilang Milo miliknya yang terletak di Chembong, Negeri Sembilan.

Pelaburan ini juga akan menjadikan kilang itu sebagai pusat pembuatan Milo yang terbesar di dunia.

Memetik laporan Bernama, Nestle dalam satu kenyataan, mengatakan bahawa ia akan memindahkan semua operasi perkilangan Milo sedia ada dari kilang di Petaling Jaya untuk menggabungkan pengeluaran produk itu di kilang Chembong.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Nestle, Alois Hofbauer, kilang Milo di Chembong akan menjadi bahagian penting dalam perniagaan syarikat itu, di mana ia membekalkan Milo di dalam negara dan mengeksportnya ke lebih daripada 20 negara di seluruh dunia.

“Menerusi pertumpuan operasi Milo kami dan pelaburan melebihi RM100 juta ke kilang Chembong, kami akan mampu meningkatkan lagi kemudahan pengeluaran, kecekapan operasi dan meningkatkan kapasiti kilang.

“Ini akan membantu kami untuk memenuhi permintaan tempatan dan export yang semakin meningkat,” katanya.

Sementara itu, Lactalis Group, iaitu peneraju global di dalam perniagaan tenusu dan beroperasi di lebih 100 buah negara, akan memperoleh dan mengambil alih operasi kilang di Petaling Jaya serta perniagaan tenusu sejuk terkemuka, dengan bayaran tunai RM155.3 juta kepada Nestle.

Ujar Hofbauer, syarikat itu kekal positif terhadap pasaran Malaysia dan turut berharap untuk membuka lebih banyak peluang pertumbuhan pada masa akan datang.

“Kami melihat potensi besar bahawa pelaburan ini akan membolehkan kami untuk mengukuhkan fokus terhadap perniagaan teras strategik yang dapat memberikan pertumbuhan jangka masa panjang yang baik dan sejajar dengan keperluan pengguna yang semakin berkembang,” jelas beliau.

Tambahnya lagi, inisiatif ini juga akan membuka laluan bagi perniagaan tenusu sejuk dan kilang Petaling Jaya untuk berkembang di bawah kepimpinan baru Lactalis.

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker