Isu SemasaPolitik

Syed Saddiq Lantik 3 Bekas Banduan Bekerja di KBS

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata beliau akan mengupah tiga bekas tahanan untuk bekerja di pejabatnya di kementerian itu.

Beliau berkata langkah itu adalah sebagai inisiatif untuk mengubah stigma dan persepsi negatif terhadap bekas banduan.

Beliau berkata ketiga-tiga orang bekas banduan itu adalah belia yang telah menyelesaikan hukuman penjara dan akan bekerja dengannya dalam tempoh tertentu, yang akan ditentukan kemudian.

Beliau berkata inisiatif itu adalah sebahagian daripada kempen “Reben Kuning” yang dilaksanakan oleh kementeriannya, bertujuan untuk mengubah persepsi orang ramai terhadap bekas banduan, terutama di kalangan belia, dan dengan itu memberi mereka peluang kedua dalam kehidupan.

“Saya akan membincangkan perkara ini secara terperinci dengan Jabatan Penjara dan kementerian yang berkaitan supaya mereka (bekas banduan) dapat ditempatkan di pejabat saya dan saya sendiri akan memantau mereka.

“Kita perlu melaksanakan pelan ini. Jika saya merasmikan kempen ini tetapi tidak melakukan apa-apa, maka bagaimana saya mengharapkan sektor swasta dan masyarakat menerima bekas banduan,” katanya kepada Bernama selepas melancarkan program di Penjara Sungai Buloh semalam.

Related image

Program ini dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Penjara, Kementerian Dalam Negeri dan pertubuhan bukan kerajaan.

Syed Saddiq berkata jika bekas banduan itu dapat menjalankan tugas dan berkelakukan baik di pejabatnya, ia akan membuktikan bahawa masyarakat juga boleh menerima dan menyokong mereka.

Terdahulu dalam ucapannya, yang turut dihadiri penghuni penjara Sungai Buloh, Syed Saddiq berkata beliau akan mengadakan perbincangan dengan pihak berkaitan dari sektor kerajaan dan swasta untuk mencari mekanisme yang lebih baik bagi bekas banduan untuk menjalani kehidupan baru selepas melengkapkan tempoh hukuman mereka.

Beliau berkata tidak adil apabila belia yang pernah melakukan kesalahan dipinggirkan selepas dibebaskan dari penjara sedangkan mereka mempunyai masa depan yang panjang dan memerlukan bantuan untuk mengelak daripada mengulangi kesilapan sama.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker