Isu SemasaTempatan

Hanya 55% Rakyat Malaysia Bayar Bil Tepat Pada Masa

Baru-baru ini, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menyatakan bahawa hanya 55% rakyat Malaysia membayar bil bulanan mereka pada masa yang ditetapkan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Azaddin Ngah Tasir, perkara ini didedahkan menerusi kajian yang dilaksanakan oleh Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) pada tahun 2016.

“Di dalam satu lagi kajian pada 2015 yang menyasarkan Gen Y, Institut Kewangan Asia melaporkan bahawa 70% daripada mereka yang memiliki kad kredit cenderung untuk membayar bayaran bulanan minimum, sementara 45% Gen Y tidak membayar hutang mereka tepat pada masanya.

“Sekiranya trend ini berterusan, kita mungkin akan menyaksikan peningkatan keberhutangan dan kebankrapan membabitkan isi rumah Malaysia,” kata beliau ketika berucap di majlis pelancaran kempen “Pay-On-Time” pada Rabu, 17 Oktober 2018.

Memetik laporan The Edge Markets, Azaddin berkata, berdasarkan data AKPK setakat 31 Ogos 2018, 40% daripada 230,000 orang penghutang yang telah dibantu oleh agensi itu mengakui bahawa mereka tidak menguruskan kewangan dengan baik.

Ujarnya lagi, 57% daripada kes berkenaan melibatkan hutang kad kredit, sementara 26% lagi adalah pinjaman peribadi.

Sejak penubuhan AKPK pada tahun 2006 sehingga 30 September tahun ini, seramai 817,851 individu telah mendapatkan perkhidmatan kaunselingnya.

Daripada jumlah itu pula, 243,699 individu telah memohon untuk menyertai Program Pengurusan Hutang AKPK yang membantu peminjam untuk memperbaiki dan mengukuhkan kedudukan kewangan mereka, menerusi pelan pembayaran hutang yang diperibadikan.

“Majoriti individu di dalam program pengurusan hutang kami berusia di antara 30 hingga 50 tahun. Dari segi pendapatan (bulanan), kira-kira 85% daripada mereka di dalam program itu meraih RM5,000 dan ke bawah,” jelas Azaddin.

Sementara itu, kempen “Pay-On-Time”, dengan kerjasama Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) serta Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM), merupakan salah satu usaha AKPK untuk menggalakkan pengurusan kewangan secara berhemah dalam kalangan masyarakat.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker