AntarabangsaIsu Semasa

7 Tragedi Serangan Di Kedutaan Seluruh Dunia

Pembunuhan kejam wartawan terkemuka Arab Saudi, Jamal Khashoggi di Kedutaan Saudi di Turki baru-baru ini  telah mencetuskan kemarahan masyarakat antarabangsa.

Lebih mengejutkan lagi, pembunuhan itu didakwa diarahkan sendiri oleh Putera Mahkota, Mohammed Bin Salman.

Walau bagaimanapun, ini bukan pertama kali insiden keganasan berlaku di kedutaan, yang sepatutnya menjadi tempat yang selamat.

Berikut adalah tujuh tragedi yang pernah menimpa kedutaan-kedutaan di seluruh dunia:

1. SERANGAN KOMPAUN DIPLOMATIK AMERIKA SYARIKAT DI LIBYA

Pada 11 September 2012, pelampau-pelampau Libya daripada kumpulan militan al-Shariah melancarkan serangan ke atas dua kompaun diplomatik Amerika Syarikat (AS) di bandar Benghazi.

Serangan itu mengorbankan empat rakyat AS, termasuk dutanya, Chris Stevens, dan turut memusnahkan kedua-dua bangunan berkenaan.

Tahun lepas, anggota militan Libya bernama Ahmed Abu Khattala, 47, telah disabitkan bersalah atas pelbagai tuduhan berkaitan keganasan berikutan peranannya di dalam serangan itu.

2. PENGEBOMAN KEDUTAAN AUSTRALIA DI INDONESIA

Suspek-suspek militan telah meletupkan sebuah bom kenderaan di luar Kedutaan Australia di Jakarta, Indonesia pada 9 September 2004, sekali gus meragut nyawa lapan orang.

Antara mangsa yang terkorban adalah pengawal keselamatan kedutaan serta dua pekerja kedutaan, anggota polis yang bertugas, serta seorang pemohon visa.

 

3. PENGEPUNGAN KEDUTAAN MYANMAR DI THAILAND

Pada 7 Oktober 1999, sebuah kumpulan anti-kerajaan yang dikenali sebagai Vigorous Burmese Student Warriors telah menyerbu Kedutaan Myanmar di Bangkok, Thailand.

Mereka menjadikan 38 orang sebagai tebusan untuk menuntut agar demokrasi dilaksanakan di tanah air mereka, Myanmar yang juga dikenali sebagai Burma.

4. PENGEBOMAN KEDUTAAN CHINA DI SERBIA

Bom Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang dilepaskan oleh AS, secara ‘tidak sengaja’ telah terkena Kedutaan China di Belgrade, Serbia pada 8 Mei 1999 sekali gus menyebabkan 3 wartawan warga China terbunuh.

Di China pula, penunjuk perasaan yang berang dengan kejadian itu bertindak balas dengan menyerang Kedutaan AS di sana.

5. KEDUTAAN AMERIKA SYARIKAT DI AFRIKA TIMUR DIBOM AL-QAEDA

Militan Al-Qaeda melancarkan pengeboman trak pada 7 Ogos 1998 ke atas Kedutaan AS di Kenya dan Tanzania.

Jumlah mangsa korban mencatatkan 224 orang, dan kebanyakan daripada mereka adalah warga Kenya.

Difahamkan, dalang disebalik serangan itu bernama Fazul Abdullah Mohammed, dan dia telah ditembak mati di sebuah checkpoint keselamatan di Mogadishu, Somalia, sebulan selepas ketua Al-Qaeda, Osama Bin Laden dibunuh oleh Tentera Laut AS di Pakistan pada Mei 2011.

6. SERANGAN KEDUTAAN MESIR DI PAKISTAN

Seorang pengebom berani mati telah merempuh traknya yang sudah dilengkapi dengan bahan letupan ke arah Kedutaan Mesir di Islamabad, Pakistan pada 19 November 1995.

Serangan itu menyebabkan kematian 15 orang.

 

7. KRISIS TEBUSAN DI KEDIAMAN DUTA JEPUN DI PERU

Pada 17 Disember 1996, pemberontak berhaluan kiri Tupac Amaru telah mengepung kediaman duta Jepun di Lima, Peru, ketika majlis sambutan ulang tahun kelahiran Maharaja Akihito.

Diplomat, tetamu, dan pegawai-pegawai kerajaan telah dijadikan tebusan oleh kumpulan itu, dan mereka menuntut kebebasan anggota-anggota mereka yang dipenjarakan.

Secara keseluruhan, seramai 72 orang telah menjadi tebusan Tupac Amaru selama 126 hari. Kemudian pasukan keselamatan kerajaan menyerbu kawasan itu untuk menyelamatkan tebusan.

Walaupun semua pemberontak berjaya ditumpaskan, seorang tebusan serta dua komando turut terkorban.

 

 

Sumber: AP

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker