AntarabangsaIsu Semasa

Walaupun Baru 6 Tahun, ‘Malaikat Kecil’ Ini Dah Pandai Jaga Bapa Yang Lumpuh

Menjadi ibu atau bapa kepada anak-anak merupakan salah satu tugas yang paling berat di dunia, tetapi penuh dengan kemanisan.

Ia juga merupakan tanggungjawab ibu bapa bagi memastikan anak mereka mendapat kasih sayang serta keperluan yang mencukupi di dalam kehidupan.

Namun begitu, bagaimana pula sekiranya situasi tersebut menjadi sebaliknya, di mana anak yang masih kecil perlu menjaga orang tuanya yang sakit?

Kesukarannya pasti tidak terkata. Tetapi di China, terdapat seorang kanak-kanak perempuan berusia 6 tahun bernama Jia Jia, yang sudah pandai memikul tanggungjawab seperti orang dewasa demi menjaga bapanya yang sedang lumpuh.

“Malaikat kecil” ini telah berjaya menyentuh hati ramai netizen dan menjadi popular di atas talian (online) berikutan ketabahannya menjaga individu yang amat penting di dalam hidupnya.

Memetik laporan Asia News Network, Tian Haicheng menggunakan sebuah aplikasi perkongsian gambar di China, untuk mendokumentasikan tindakan mulia anak perempuannya.

Selepas kedua-dua beranak itu menjadi tular di media sosial, akaun Tian kini dibanjiri lebih daripada 480,000 pengikut.

Difahamkan, Tian mengalami lumpuh dari dadanya sehingga seluruh bahagian bawah badan akibat kemalangan kereta pada bulan Mac 2016.

Lebih menyedihkan lagi, isteri lelaki berusia 40 tahun itu, yang sepatutnya berada di sisinya ketika waktu senang dan susah, telah meninggalkan Tian dua bulan selepas kemalangan itu, dan turut membawa bersama anak lelaki mereka.

Oleh yang demikian, Jia Jia, dengan perasaan penuh ikhlas dan rela hati mengambil alih tugas ibunya untuk menjaga Tian.

“Menjaga ayah saya, saya tidak rasa letih langsung,” katanya di dalam satu temubual bersama Yangtze Evening News.

Bukan itu sahaja, malah rutin harian Jia Jia bermula seawal jam 6 pagi, di mana dia akan menggunakan kain ikatan buatan sendiri untuk mengangkat bapanya bangun dari katil dan duduk di kerusi roda bermotor.

Dia kemudian akan mengurut otot-otot Tian selama kira-kira setengah jam, dan selepas itu membantu bapanya memberus gigi, membasuh muka, sebelum pergi ke sekolah.

Jia-Jia juga sudah belajar bagaimana untuk mencukur janggut bapanya sekali gus menyebabkan Tian menggelarnya “tangan ayah.”

Ketika berada di kelas pula, atuk dan nenek Jia Jia (belah bapanya) akan menjaga Tian.

Walaupun masih lagi kecil, Jia Jia sudah mampu membuktikan bahawa kasih sayang di antara anak dan bapa tidak bersyarat dan tiada penghujungnya.

Semoga anak kecil ini dikurniakan kesihatan yang baik serta rezeki melimpah ruah di dalam kehidupannya!

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker