Isu SemasaTempatan

Selepas Ini, PM, MB Dan KM Tak Boleh Memerintah Lama-Lama Lagi

Pada Khamis, 18 Oktober 2018, Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad telah membentangkan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) di Dewan Rakyat.

Pelbagai rancangan reformasi telah diumumkan, antaranya adalah:

1. Memperkasakan modal insan

2. Menurunkan had umur mengundi daripada 21 tahun ke 18 tahun

3. Memastikan pembangunan wilayah yang seimbang (tidak akan membiarkan mana-mana negeri ketinggalan)

4. Meningkatkan ketelusan dan kecekapan perkhidmatan awam

Selain daripada itu, Dr. Mahathir turut mengumumkan sebuah reformasi penting yang bakal dilaksanakan dalam sistem politik negara, iaitu mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri, Menteri Besar, dan Ketua Menteri kepada dua penggal sahaja.

Memandangkan satu penggal adalah bersamaan dengan lima tahun, seseorang pemimpin itu hanya boleh memegang jawatan-jawatan berkenaan selama 10 tahun maksimum.

Selepas tamat tempoh tersebut, individu lain perlu dilantik untuk mengambil alih jawatan itu walaupun pemimpin sebelumnya meraih kemenangan di dalam pilihan raya.

Di bawah undang-undang sedia ada pula, tiada tempoh had pemerintahan yang ditetapkan, dan ini sekali gus membolehkan ahli politik untuk menjawat kedudukan-kedudukan tersebut selama yang mungkin, selagi mereka tidak tewas di dalam pilihan raya.

Bukan itu sahaja, malah reformasi ini juga memperuntukkan bahawa seorang Perdana Menteri tidak dibenarkan untuk memegang mana-mana portfolio kementerian lain.

Menurut Dr. Mahathir, langkah ini diambil untuk memberi penghormatan terhadap mandat yang diberikan oleh rakyat kepada Pakatan Harapan (PH) bagi melakukan perubahan susulan kemenangan di dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Langkah segera untuk mereformasi sistem politik akan dilaksanakan. Tempoh perkhidmatan jawatan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri akan dihadkan kepada dua penggal. Perdana Menteri juga tidak akan memegang portfolio lain.

“Mandat yang diberikan oleh rakyat adalah untuk kita melakukan perubahan. Maka reformasi tadbir urus menjadi keutamaan.

“Kita telah memulakannya dengan menukar pemimpin institusi kritikal seperti institusi kehakiman, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya SPR),” katanya.

Walau bagaimanapun, pindaan ini hanya boleh dikuatkuasakan sekiranya meraih undian 2/3 anggota-anggota Dewan Rakyat.

Memetik laporan media tempatan, perubahan yang digariskan itu terkandung di dalam Tonggak 1: Mereformasi Tadbir Urus Ke Arah Meningkatkan Ketelusan dan Kecekapan Perkhidmatan Awam yang diletakkan dalam Keutamaan Pertama: Menambah Baik Tadbir Urus pada Semua Peringkat.

Dalam pada itu, ujar beliau, mekanisme semak dan imbang (check and balance) di semua peringkat juga akan dilaksanakan dengan tegas dan berkesan, di mana sistem pentadbiran undang-undang akan dimantapkan lagi dengan mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

Menerusi pengasingan ini, peranan-peranan tersebut akan dipegang oleh dua individu yang berlainan.

Demi memberi kuasa autonomi yang lebih kepada Parlimen, Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 akan diperkenalkan semula.

Sistem jawatankuasa pemilih juga akan diwujudkan, dan ia berperanan untuk memperaku pelantikan jawatan utama di SPRM, SPR, Jabatan Audit Negara dan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker