AntarabangsaIsu Semasa

Yang ‘Muda’ Tidak Semestinya Lebih Baik Daripada Yang ‘Tua’

Kadang kala, yang muda tidak semestinya lebih baik daripada yang sudah berusia.

Roula Khalaf, Naib Editor Financial Times (FT), menerusi penulisannya berjudul The enduring myth of the young Arab reformer” berkata, kebanyakan rakyat di negara-negara Arab berharap agar pewaris lelaki kepada pemimpin yang sudah tua akan memerintah lebih baik daripada bapanya.

Malah, dasar luar Barat terhadap Timur Tengah juga selama ini sentiasa bergantung besar ke atas pemimpin muda, dengan harapan mereka akan membawa reformasi yang dihajatkan.

Antara pewaris-pewaris pemimpin di rantau itu termasuk:

Syria – Presiden Bashar al-Assad, anak lelaki bekas presiden, Hafez al-Assad yang memerintah dari tahun 1971 sehingga 2000

Libya – Seif al-Islam, anak lelaki bekas diktator, Muammar Gaddafi

Mesir – Gamal Mubarak, anak lelaki bekas presiden, Hosni Mubarak

Arab Saudi – Putera Mahkota Mohammed bin Salman, pewaris takhta Raja Salman Abdul Aziz Al-Saud

Mempunyai semangat yang tinggi untuk melakukan perubahan, pemimpin-pemimpin baru itu sebelum ini dipandang tinggi oleh pihak Barat.

Walau bagaimanapun, mereka sebaliknya didapati mempunyai personaliti yang sama ganas dengan pemimpin terdahulu, dan ada kalanya lebih ‘brutal’.

1. PUTERA MAHKOTA MOHAMMED BIN SALMAN

Kes ini dapat dilihat pada Putera Mahkota Mohammed Bin Salman, kini berusia 33 tahun, di mana beliau dilihat tidak mengikut jejak langkah pendahulu-pendahulunya yang ultra-konservatif dari segi pemerintahan.

Putera Mohammed telah melakukan pelbagai bentuk pembaharuan besar di Arab Saudi, termasuk buat julung kalinya membenarkan wanita untuk memandu, melaksanakan amalan “Islam sederhana dan terbuka”, serta memperkasakan ekonomi negara menerusi ‘Visi 2030’ yang diperkenalkan oleh beliau.

Namun begitu, pembunuhan kejam wartawan terkemuka, Jamal Khashoggi baru-baru ini yang dipercayai diarahkan oleh beliau, telah mencetuskan kemarahan antarabangsa.

Hal ini sekali gus menyebabkan ramai pihak, khususnya negara Barat, mempersoalkan ‘reformasi’ yang dibawa oleh Putera Mahkota itu.

Memang benar (pemimpin) muda lebih bertenaga. Namun kekurangan pengalaman boleh membawa ‘tenaga’ itu ke arah yang salah,” kata Roula.

2. GAMAL MUBARAK

Mesir tidak mengamalkan sistem pemerintahan monarki yang selalunya membabitkan penyerahan kuasa daripada bapa ke anak, tetapi ramai diplomat Barat di negara itu berpandangan bahawa Gamal Mubarak, iaitu anak lelaki kepada bekas Presiden, Hosni Mubarak, merupakan individu yang paling “sesuai” untuk menggantikan tempat bapanya sebagai pemimpin.

Walaupun tidak sempat menjadi presiden Mesir, kegiatan rasuah besar-besaran yang dilakukan oleh Gamal telah mencetuskan kemarahan orang ramai terhadap beliau dan keluarganya.

Ketika tercetusnya revolusi pada tahun 2011, rakyat dan pihak tentera telah menggulingkan kerajaan pimpinan Hosni kerana membantah pemerintahan “kuku besi” selama 30 tahun, gejala rasuah, serta kemiskinan tegar dan pengangguran yang berlaku ketika zaman pentadbiran beliau.

3. SEIF AL-ISLAM

Seif al-Islam merupakan anak lelaki kepada bekas diktator Libya, Muammar Gaddafi.

Ketika rakyat menentang Gaddafi, Roula menyatakan bahawa Seif al-Islam muncul sebagai ‘pahlawan’, dan mengeluarkan ‘bisa’ yang sama seperti bapanya.

Dalam sebuah ucapan ketika berlakunya perang saudara pada tahun 2011, beliau berikrar bahawa rejimnya akan “berjuang sehingga lelaki terakhir, wanita terakhir, dan peluru terakhir.”

4. BASHAR AL-ASSAD

Sejak Perang Saudara Syria bermula pada tahun 2011 bagi membantah pemerintahan Presiden Bashar Al-Assad sehingga kini, kira-kira 364,792 orang terkorban (1/3 daripada jumlah itu adalah orang awam), kira-kira 6.1 juta rakyat negara itu telah kehilangan tempat tinggal, 5.5 juta menjadi pelarian, dan 13.1 juta masih memerlukan bantuan.

Menurut Roula, kekejaman yang dilakukan oleh rejim Bashar lebih ‘brutal’ berbanding zaman pemerintahan ayahnya dahulu.

Oleh yang demikian, yang muda tidak semestinya lebih baik daripada yang tua, sekiranya mereka tidak dibimbing dengan baik.

Walaupun bertopengkan ‘pembaharuan dan reformasi’, ia tidak bermakna mereka sudah menghapuskan sifat ‘brutal’ mereka.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker