AntarabangsaIsu Semasa

Warga Sepanyol Diramalkan Mempunyai Jangka Hayat Paling Lama Menjelang 2040

Orang Sepanyol diramalkan mempunyai jangka hayat yang paling lama di dunia menjelang 2040, mengalahkan Jepun yang berada di tempat kedua.

Menurut seorang penulis sebuah kajian paling komprehensif tentang beban penyakit dunia, antara sebab utama adalah cara pemakanan mereka.

Pada tahun-tahun yang akan datang, ancaman terbesar pada kesihatan dan jangka hayat adalah obesiti, tekanan darah tinggi dan gula darah, serta penggunaan tembakau dan alkohol, menurut Institut Kesihatan Metrik dan Penilaian (IHME) di Seattle, AS, yang menghasilkan ramalan tersebut.

“Sepanyol bijak mengawal keadaan kesihatan,” kata Dr Christopher Murray, pengarah IHME di University of Washington, “walaupun begitu penggunaan tembakau masih boleh dikurangkan. Tetapi jangka hayat sekarang adalah sangat baik.”

Orang Sepanyol, yang dijangka mempunyai jangka hayat purata 85.8 tahun, sangat baik menjaga pemakanan mereka, katanya.

Kementerian Kesihatan Sepanyol juga telah membiayai kajian Predimed iaitu penyelidikan terbesar mengenai manfaat diet Mediterranean.

Jepun, yang telah bertahun-tahun menikmati jangka hidup yang tinggi di dunia, bakal mengambil tempat kedua, menurut kajian Global Burden of Disease yang diterbitkan dalam talian oleh IHME serta dalam jurnal perubatan Lancet.

Jangka hayat purata mereka adalah 85.7 tahun. “Lelaki tidak begitu bernasib baik,” kata Murray. “Merokok mungkin sebahagian daripada sebab itu dan kadar obesiti telah meningkat untuk lelaki tetapi bukan untuk wanita.”

Data daripada kajian ini sentiasa dikemas kini dengan penyelidikan dan statistik dari setiap negara di dunia. Untuk pertama kalinya, pasukan penyelidikan telah menghasilkan ramalan bukan sahaja untuk jangka hayat dan hasil kesihatan (health outcome) yang paling mungkin untuk 195 negara dan wilayah, tetapi juga senario kes terbaik dan terburuk.

“Pada pendapat saya, perbezaan antara hasil kesihatan yang lebih baik dan buruk adalah apa yang dapat dicapai oleh kerajaan dan masyarakat global,” kata Murray.

Data menunjukkan apa yang akan berlaku jika dasar tertentu digunakan untuk mengurangkan merokok, meningkatkan bekalan air bersih, mengurangkan obesiti atau menangani pencemaran udara.

Penulis mengatakan bahawa semua negara mungkin mengalami sedikit peningkatan dalam jangka hayat, tetapi kenaikannya akan lebih lambat daripada sebelumnya.

Sumber: Guardian

Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker