MalaysiaPolitik

“Menteri Pakatan Belum Layak Terima Gelaran Kehormat”

Keputusan lima orang menteri untuk menerima gelaran kehormatan daripada kerajaan negeri Melaka bukanlah satu langkah yang bijak, kata wartawan veteran Datuk A. Kadir Jasin.

Kadir berkata kerajaan Pakatan Harapan masih setahun jagung, kurang dari setahun memegang kepimpinan negara dan tidak layak mendapat gelaran kehormatan.

“Selain itu, kerajaan juga masih belum memenuhi jangkaan rakyat yang tinggi.

“Penerimaan gelaran kehormatan secara tidak langsung menunjukkan bahawa tidak ada perbezaan antara menteri-menteri Pakatan dan pemimpin-pemimpin besar dalam kerajaan Barisan Nasional yang gilakan kedudukan, pangkat dan kekayaan,” tulis Kadir dalam blognya pada hari Rabu.

Lima Menteri yang menerima gelaran itu ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar Rina Mohd Harun, Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad, Menteri Pembangunan Usahawan Mohd Redzuan Md Yusof, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.

Mereka menerima anugerah Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) yang membawa gelaran “Datuk Seri” bersempena ulang tahun ke-80 Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob pada Ahad lepas.

Kadir berkata walaupun beliau tidak menafikan ada di antara menteri itu yang telah menyumbang kepada negara ketika menjadi pembangkang, beliau berkata orang ramai menilai menteri dari sumbangan dan pencapaian mereka setelah menjadi kerajaan.

Related image
Tokoh Wartawan, Datuk A. Kadir Jasin juga menjadi ahli penasihat media dan komunikasi di Pejabat Perdana Menteri

“Rakyat tidak setuju. Perdebatan hangat di media sosial menunjukkan dengan jelas bahawa majoriti rakyat tidak setuju dan berasa mual dengan penerimaan gelaran kehormat,” katanya.

Kadir menambah bahawa beliau bersetuju dengan DAP yang tidak menggalakkan pemimpinnya menerima gelar kehormat tetapi untuk berkhidmat kepada rakyat.

Beliau turut menyelar kenyataan seorang menteri yang mengatakan bahawa gelaran kehormatan itu akan membolehkannya melakukan tugas sebagai menteri dengan lebih baik.

“Adakah mandat rakyat tidak cukup untuk menaikkan semangatnya?

“Saya minta maaf tetapi saya harus katakan bahawa ramai antara mereka yang masih belum jelas tentang apa sumbangan mereka sehingga layak menerima gelaran kehormatan tersebut,” kata Kadir yang juga ahli majlis tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

Kadir sentiasa memastikan blognya ditulis dalam kapasiti peribadinya dan bukan sebagai sebahagian daripada jawatan rasminya sebagai penasihat media dan komunikasi di Pejabat Perdana Menteri. – The Star

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button