Isu SemasaTempatan

Dulu 18, Sekarang 21

Pada Selasa, 16 Oktober 2018, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengumumkan kenaikan had umur membeli minuman beralkohol daripada 18 tahun ke 21 tahun, yang berkuatkuasa serta merta.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pihak penjual juga kini diwajibkan untuk mempamerkan notis “Meminum Arak Boleh Membahayakan Kesihatan” di hadapan premis mereka.

Sehubungan dengan itu, penjual juga perlu meletakkan label yang sama di semua produk minuman alkohol yang dijual, serta tanda larangan jualan minuman beralkohol kepada golongan yang berumur kurang daripada 21 tahun di kaunter jualan mereka.

Jelas Dr. Dzulkefly, pindaan peraturan tersebut terdiri daripada pindaan ke atas peraturan 361 mengenai standard am bagi minuman beralkohol yang sedia ada dan mewujudkan peraturan baru 386A mengenai Sebatian Minuman Keras (Compounded Hard Liquor atau CHL).

Di bawah peraturan baru ini juga, minuman beralkohol untuk jualan perlu dipamerkan di kabinet atau rak yang berasingan daripada kabinet atau rak yang menjual makanan/minuman lain.

Sekiranya gagal mematuhinya, pesalah boleh dikenakan:

1. Bayaran denda tidak melebihi RM10,000 atau;

2. Hukuman penjara tidak melebihi tempoh dua tahun

Memetik laporan The Star, dua syarikat arak terkemuka, iaitu Carlsberg Brewery Malaysia Bhd dan Heineken Malaysia Bhd, menyatakan bahawa mereka telah mula mengamalkan peraturan baru ini (dari segi umur minimum membeli arak) sejak tahun lepas lagi.

Pengarah Urusan Carlsberg Malaysia, Lars Lehmann berkata, syarikatnya telah menguatkuasakan umur minimum membeli arak “21 tahun ke atas” sejak 1 Disember tahun lalu.

“Kami juga melaksanakan percetakan mesej amaran kesihatan dari 1 Disember tahun lepas selaras dengan peraturan baru.

“Pada waktu itu, kami mengarahkan kakitangan kami di seluruh negara untuk menampalkan pelekat yang mempunyai mesej amaran kesihatan baru ke atas semua stok di pasaran yang mempunyai label lama.

“Sejak itu, semua produk kami mempunyai mesej amaran kesihatan baru sebagai standard,” katanya.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker