Isu SemasaTempatan

Kronologi Projek Jambatan Bengkok Malaysia-Singapura

Isu jambatan bengkok kini hangat diperkatakan semula. Menteri Besar Johor, Osman Sapian semalam mengumumkan kemungkinan untuk melaksanakan semula projek kontroversi ‘jambatan bengkok’ yang menghubungkan negeri itu dan Singapura.

Beliau berkata cadangan untuk melaksanakan semula projek itu telah dibangkitkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri.

Apa Itu Jambatan Bengkok?

Projek jambatan bengkok telah dicadangkan oleh Dr Mahathir sebelum beliau bersara sebagai perdana Menteri pada tahun 2003.

Jambatan bengkok atau dalam perancangan mahu dinamakan sebagai Jambatan Indah merupakan struktur jambatan lebuh raya 6 lorong sepanjang 1.4 kilometer yang diimpikan bagi menggantikan Tambak Johor sepanjang 1.06 kilometer yang sudah digunakan sejak tahun 1923.

Idea pembinaan jambatan lurus telah dicetuskan dan kemudian diubah menjadi ‘bengkok’  seperti huruf ‘S’ kerana Singapura tidak mahu mengubah struktur penghubung di sempadan negaranya.

Image result for crooked bridge

Kronologi Isu Jambatan Bengkok

5 Julai 1996: Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad telah mencetuskan idea untuk  merobohkan Tambak Johor yang menjadi pintu masuk selatan negara dan diganti dengan sebuah jambatan baharu.

8 Julai 1996: Perdana Menteri Singapura ketika itu, Goh Chok Tong menganggap cadangan Malaysia untuk menggantikan Tambak Johor dengan jambatan baharu tidak mengejutkan republik itu.

1 Ogos 1996: Mahathir umumkan jambatan baharu bagi menggantikan Tambak Johor bakal dibina secepat mungkin setelah mendapat persetujuan Singapura. Namun tiada perjanjian secara rasmi dimeterai.

31 Julai 1997: Sebuah perbincangan telah berlangsung di antara Malaysia dan Singapura mengenai pembinaan jambatan baharu bagi menggantikan Tambak Johor.

4 September 2001: Kedua-dua negara bersetuju dengan cadangan tambahan Malaysia berhubung pembinaan jambatan baharu yang dianggarkan siap pada tahun 2007.

13 Jun 2004: Malaysia yang telah memulakan kerja-kerja pembinaan fasa awal kemudiannya menghentikan sementara pembinaan bagi membolehkan rundingan lanjut dibuat dengan Singapura.

24 Januari 2005: Keputusan untuk membatal atau meneruskan pembinaan jambatan bernilai RM2 bilion itu terus berlarutan dan bergantung kepada hasil rundingan dengan Singapura.

27 Ogos 2005: Tiada kata putus dibuat oleh Singapura berkaitan projek berkenaan, namun Malaysia bertegas mahu meneruskannya.

6 Februari 2006: Singapura sedia bekerjasama dengan Malaysia untuk meneruskan pembinaan jambatan tersebut tetapi meletakkan dua syarat iaitu menjual pasir kepada republik itu dan membuka ruang udara Johor untuk keperluan latihan jet pejuangnya.

9 Mac 2006: Malaysia meneruskan kerja-kerja awal pembinaan jambatan bengkok atau ‘Jambatan Indah’ berikutan Singapura tidak memberikan kata putus mengenai projek jambatan lurus.

Seni bina jambatan bengkok itu lebih tinggi dan membolehkan kapal-kapal kecil melepasinya namun Singapura enggan berkompromi dengan konsep itu.

12 April 2006: Perdana Menteri selepas Mahathir, Tun Abdullah Ahmad Badawi memutuskan bahawa Malaysia menghentikan pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor.

26 Jun 2010: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar bertitah agar cadangan pembinaan jambatan bengkok dipertimbangkan semula.

17 April 2014: Mahathir sekali lagi membuat kenyataan mengenai mengapa pentingnya jambatan itu dibina sewaktu menghadiri sebuah acara di Iskandar Malaysia.

13 April 2015: Isu jambatan bengkok sekali lagi menjadi polemik apabila Dr Mahathir tidak berpuas hati dengan keputusan Najib Razak untuk tidak meneruskan projek itu setelah berjanji untuk melaksanakannya sebelum menyandang jawatan sebagai Perdana Menteri.

Show More

Related Articles

Back to top button