AntarabangsaIsu Semasa

Kenapa Banyak Negara Berminat Nak Beli Senjata S-400 Rusia?

Bulan lepas, Rusia telah mengadakan latihan ketenteraannya yang terbesar sejak era Perang Dingin pada tahun 1980-an.

Dikenali sebagai Vostok-2018, latihan tersebut membabitkan kira-kira 300,000 anggota tentera Rusia, dan turut disertai oleh ramai anggota tentera China serta Mongolia.

Vostok turut mempamerkan pelbagai senjata dan peralatan perang Rusia, termasuk sistem pertahanan peluru berpandu canggihnya, S-400.

Memetik laporan Al-Jazeera, S-400 merupakan versi baru bagi menggantikan model lama, S-300 yang baru sahaja dihantar ke Syria.

Disebabkan keupayaan luar biasa S-400, pelbagai negara termasuk China, Arab Saudi, Turki, India, dan Qatar telah meluahkan hasrat untuk membeli senjata itu.

Namun begitu, negara-negara yang merancang untuk membeli S-400 dari Rusia turut menerima ‘ancaman diplomatik’ dari Amerika Syarikat (AS),¬†Pertubuhan¬†Perjanjian Atlantik Utara (NATO), atau seteru mereka.

Tetapi, apa yang menyebabkan ramai negara berminat untuk beli senjata tersebut?

“S-400 merupakan salah satu sistem pertahanan udara tercanggih yang wujud, dan ia sama taraf dengan senjata-senjata yang ditawarkan oleh Barat.

“Radar dan sensor-sensor lain, serta peluru berpandunya, meliputi kawasan yang luas – radarnya mempunyai jarak pengawasan sejauh 600 kilometer, manakala jarak operasi peluru berpandunya mencecah sehingga 400 kilometer,” kata Siemon Wezeman, seorang penyelidik kanan dari Stockholm International Peace Research Institute (SIPRI).

Ujar beliau lagi, S-400 berupaya untuk mengesan sasaran dalam jumlah yang banyak pada satu masa, termasuk musuh-musuh yang ‘halimunan’.

Selain itu, ia juga mempunyai kelebihan dari aspek mobiliti. Ini bermakna, S-400 boleh dipasang, bergerak ke lokasi lain, dan melepaskan tembakan dengan mudah dalam tempoh yang singkat.

“Ia dicipta untuk menjadi sebuah sistem peluru berpandu yang sesuai untuk semua saiz. Ia boleh dikonfigurasikan dengan sistem senjata jarak jauh, separa jauh, jarak sederhana, dan jarak dekat, mengikut citarasa penggunanya,” jelas Kevin Brand, penganalisis tentera di Council on Foreign Relations.

Sementara itu, Turki, sebuah anggota negara NATO, merupakan salah satu pembeli S-400 yang paling signifikan.

Dalam satu kenyataan pada bulan Ogos lalu, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan menyatakan bahawa kerajaannya akan cuba mendapatkan sistem peluru berpandu itu secepat mungkin dan menurut Rusia, ia akan dihantar ke negara itu pada tahun 2019.

Namun, hasrat Turki membeli senjata tersebut ternyata membuatkan NATO dan sekutu-sekutu Baratnya tidak selesa, disebabkan faktor teknikal dan politik.

“Dari segi teknikal, S-400 akan membawa Turki satu langkah ke hadapan, tetapi ia tidak semestinya baik bagi kepentingan NATO untuk mengintegrasikan sistem senjata itu di dalam struktur (pertahanan) mereka,” kata Brand.

Jelas beliau lagi, NATO amat bergantung kepada beberapa sistemnya yang bekerjasama di dalam sebuah sistem yang lebih besar.

Oleh yang demikian, data-data di dalam S-400 mungkin tidak boleh dimasukkan ke dalam struktur pertahanan sedia ada yang kini sedang digunakan oleh organisasi itu.

Bukan itu sahaja, malah sekiranya senjata itu perlu diselenggara, NATO juga berhadapan risiko sekiranya Rusia mempunyai ‘niat jahat’ dan mempunyai akses terhadap data-data struktur pertahanannya.

“Senario yang terburuk adalah mungkin terdapat kelemahan di dalam sistem itu yang boleh dieksploitasi oleh pihak musuh.

“Membawanya masuk (ke dalam sistem) berpotensi untuk menjejaskan rangkaian pertahanan anda sendiri,” tambah Brand.

 

 

 

 

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker