Isu SemasaTempatan

Jika Berlaku Peperangan, Peralatan Tentera Sedia Digunakan

Dalam persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu atau lebih popular dikenali sebagai “Mat Sabu”, mendedahkan bahawa Malaysia masih belum mempunyai keupayaan penuh, khususnya dari segi kewangan, untuk memiliki jet pejuang sendiri.

Beliau berkata, meskipun penyelidik-penyelidik berpandangan Malaysia mampu membina jet pejuang sendiri menjelang tahun 2020, ia juga perlu bergantung kepada keupayaan kewangan negara.

“Dalam usaha negara untuk mengeluarkan kapal terbang misalnya, kita sudah mampu mengeluarkan pesawat penumpang, tetapi bersaiz kecil.

“Jika kita hendak mengeluarkan kira-kira 50 unit, ia tidak ekonomik, jadi kita mesti keluarkan banyak, tetapi nak jual di mana?,” soalnya.

Memetik laporan Bernama, Mat Sabu berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad (BN).

Dr. Abdul Latiff mahu mengetahui sama ada kementerian ingin mengadakan kerjasama dengan universiti yang mempunyai kepakaran tetapi tidak mempunyai modal mencukupi untuk diselaras bersama Majlis Industri Pertahanan Malaysia (MIPM) dalam usaha mempercepatkan dasar ‘self-reliance’.

Sementara itu, Presiden Parti Amanah Negara tersebut turut menjawab soalan tambahan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Pasir Mas (PAS) mengenai sejauh mana keupayaan jet pejuang Angkatan Tentera Malaysia dalam operasi dan peperangan.

Jelas Mat Sabu, sekiranya berlaku peperangan, peralatan ATM mencukupi, berada di dalam keadaan yang baik, serta sedia untuk digunakan.

“Kita tidak akan berperang dengan mana-mana negara, tetapi kita sudah bersiap siaga sepenuhnya, (dan) tentera kita juga bersemangat.

“Jika ada kerosakan (peralatan tentera), kita akan memperbaikinya,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Mat Sabu turut memberi peringatan kepada semua pihak supaya tidak memperlekehkan kemampuan angkatan tentera negara.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker