Isu SemasaTempatan

Terlibat Kemalangan, Suspek Pengganas Perancis Maut Ketika Dirawat

Seorang lelaki warga Perancis yang disyaki terlibat di dalam kegiatan keganasan di Malaysia telah meninggal dunia pada Ahad malam (14 Oktober 2018), semasa dirawat di Hospital Sungai Buloh akibat kecederaan di bahagian kepala dan paru-parunya.

Lapor New Straits Times (NST), suspek bernama Mickael Alain Louvier itu tercedera apabila van polis yang membawanya terbabit dalam kemalangan di KM 428.3 Lebuhraya PLUS berdekatan Bukit Beruntung, Jumaat lepas.

Dalam pada itu, Penolong Pengarah Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, ketika dihubungi oleh NST telah mengesahkan kematian lelaki Perancis itu, namun beliau enggan memberi ulasan lanjut.

Menurut sumber, sebelum kejadian, Louvier dan rakan-rakannya dibawa ke Perlis, bagi membolehkan polis mendapatkan maklumat lanjut berhubung siasatan cubaan kumpulan pengganas untuk menubuhkan sebuah ‘madrasah’ di Asia Tenggara untuk menyebarkan ideologi Salafi Jihadi.

“Louvier serta lima orang lagi suspek yang merupakan pelajar sebuah pusat pengajian Islam di Perlis telah ditahan pada 24 September lalu di negeri itu selepas risikan polis mengesyaki bahawa pusat itu telah diasaskan oleh kumpulan pengganas berkenaan,” kata sumber.

Difahamkan, van polis yang membawa suspek-suspek turut dinaiki oleh tujuh orang anggota polis pada waktu itu.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dalam satu kenyataan sebelum ini memaklumkan bahawa siasatan polis dan pertukaran maklumat bersama agensi-agensi perisikan asing, mendapati bahawa beberapa orang guru serta pelajar luar di pusat berkenaan mempunyai kaitan dengan sebuah madrasah di Dammaj, Yaman.

Madrasah di Yaman itu diasaskan oleh Muqbil Hadi Al Wadi’i, yang juga dikenali sebagai ‘tokoh’ ideologi Salafi Jihadi yang ekstrem.

Fuzi berkata, polis juga telah menahan lima rakyat dari “sebuah negara Eropah” dan “seorang warga sebuah negara di benua Amerika,” berusia di antara 24 dan 38 tahun.

Ujar beliau, salah seorang suspek merupakan adik ipar kepada seorang lelaki di Asia Tenggara yang mempunyai kaitan dengan madrasah di Yaman, dan juga telah menjalani latihan bersenjata.

“Hasil siasatan mendapati bahawa semua enam suspek juga mempunyai hubungan dengan militan IS atau kumpulan-kumpulan ekstremis lain di negara asal mereka,” jelas Fuzi.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker