Bisnes & Ekonomi

Pengenalan Cukai Baharu: Terbebankah Rakyat?

Cadangan kerajaan mahu memperkenalkan cukai baharu bagi menampung pembayaran hutang hanya bersifat jangka pendek dan bukan langkah penyelesaian sebenar yang bersifat jangka panjang.

Pensyarah Kanan dan Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School, Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata antara penyelesaian sebenar yang boleh diambil oleh kerajaan ialah perlu berterusan mengurangkan komitmen hutang terutama hutang antarabangsa.

“Kerajaan juga perlu mereformasikan sistem monetari dengan memastikan tiada lambakan kredit disebabkan pemberian hutang oleh bank komersial.

“Menggantikan matawang fiat dengan mata wang yang mempunyai nilai intrinsik, mewujudkan perbankan awam supaya mata wang di pasaran dapat dikawal selain memaksimumkan sumbangan wakaf terhadap ekonomi,” katanya ketika dihubungi NSTP.

Cadangan Kerajaan Untuk Membayat Hutang Negara

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan bercadang untuk memperkenalkan cukai baharu bagi menjana hasil negara dalam usaha membayar hutang negara yang tinggi.

Kerajaan juga mempertimbangkan untuk melepaskan aset negara seperti tanah bagi mengurangkan beban untuk membayar hutang yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu.

Mengulas lanjut, Ahmed Razman berkata mengikut teori ekonomi, jika kerajaan kekurangan duit, kerajaan sentiasa boleh menampung kekurangan berkenaan dengan mengenakan cukai tambahan kepada rakyat.

Namun persoalannya, bagaimana untuk memastikan bahawa cukai tambahan tersebut tidak membebankan rakyat yang sudah lama terpaksa menanggung kos sara hidup yang makin tinggi dan kenaikan gaji yang tidak setara dengan harga barang.

“Tidak ada cukai yang dikenakan oleh kerajaan yang tidak akan membebankan rakyat. Jika cukai dikenakan hanya terhadap orang yang terkaya atau syarikat yang paling untung, kesannya kepada rakyat tetap ada.

“Oleh itu cukai tambahan harus dilihat sebagai langkah sementara atau darurat sementara kerajaan mencari cara penyelesaian sebenar yang bersifat jangka masa panjang.

“Dengan langkah ini, perbelanjaan negara dapat dikawal, pendapatan negara akan bertambah dan kerajaan tidak perlu mengenakan cukai tambahan kepada rakyat,” katanya.

Cukai Tambahan Ke Atas Pemaju Hartanah

Beliau turut mencadangkan pengenalan cukai tambahan ke atas pemaju hartanah yang menyimpan tanah lebih dari lima tahun seperti yang diperkenalkan oleh kerajaan Singapura atau cukai atas harta pusaka untuk nilai yang melebihi RM2 juta sebagai pengenalan cukai baharu.

Sementara itu, bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Tan Sri Dr Ramon Navaratnam, berkata pendekatan Perdana Menteri itu adalah realistik bagi membolehkan hutang negara dapat dibayar dan pada masa sama memastikan defisit negara terkawal.

Katanya, mekanisme cukai yang bersesuaian mesti diperkenalkan segera manakala keperluan asas yang penting seperti kemudahan kesihatan, perumahan dan pendidikan serta keselamatan diberikan keutamaan tertinggi.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker