Menyelenggara jet pejuang bukan sesuatu tugas yang mudah dan kerja-kerja penyelenggaraan juga akan menelan kos yang sangat tinggi.
Namun pada 11 Oktober, sebuah tragedi telah berlaku di Pangkalan Udara Florennes, Belgium, apabila seorang juruteknik jet pejuang F-16 milik tentera udara negara itu secara tidak sengaja mengaktifkan senjata pesawat berkenaan ketika sedang melakukan kerja-kerja penyelenggaraan.
Lebih memburukkan keadaan, tembakan itu telah terkena tangki minyak sebuah lagi jet model serupa yang sedang diselenggara lalu menyebabkan ia terbakar dan meletup.
Minyak telah diisi penuh kerana pesawat itu hendak digunakan untuk latihan.
Namun begitu, letupan tersebut turut terkena dan menjejaskan sebuah lagi F-16 yang berada di sebelah jet yang musnah itu.
Bukan itu sahaja, malah dua orang juruteknik lain juga tercedera, tetapi tiada maklumat terperinci mengenai tahap kecederaan yang dialami.
Senjata yang diaktifkan oleh juruteknik tersebut adalah mesingan 20mm yang dikatakan mampu melepaskan sebanyak 6,000 tembakan seminit.
Difahamkan, sebuah jet F-16 berharga kira-kira £35 juta (RM164 juta) dan berikutan tragedi itu, Direktorat Keselamatan Penerbangan Belgium telah memulakan siasatan untuk melihat punca sebenar masalah dan akan memastikan perkara sedemikian tidak berulang lagi pada masa akan datang.
Memetik laporan Aviation24.be, Tentera Udara Belgium sebelum ini dilaporkan mempunyai 60 jet F-16 yang aktif, termasuk 40 buah pesawat yang beroperasi untuk NATO.