Sukan

Akhbar Jerman Selar Low Selepas Dibelasah Belanda

Akhbar Jerman menyalahkan Joachim Low selepas pasukan kebangsaan Jerman dibelasah Belanda dan kini masa depan ketua jurulatih itu bagaikan telur di hujung tanduk, lebih-lebih lagi apabila mereka bakal berdepan juara dunia Perancis pada hari Selasa nanti.

“Tidak buat masa ini,” balas Low di dalam sidang media pasca perlawanan, apabila ditanya mengenai sama ada dia masih boleh menentukan masa depannya terjamin susulan kekalahan 3-0 itu, yang terburuk dalam sejarah di antara Jerman dan Belanda.

Kapten Belanda Virgil Van Dijk menjaringkan gol pembukaan di separuh masa pertama, sebelum gol pada minit-minit akhir oleh Memphis Depay dan Georginio Wijnaldum membuatkan malam the Oranje lebih istimewa.

“Ia adalah kekalahan yang kejam dan mengecewakan, lebih-lebih lagi apabila kami mengawal permainan di dalam 30 minit yang pertama,” ujar Low yang masih mempunyai kontrak sehingga 2022.

“Buat masa ini, anda boleh merasakan yang kami tidak mempunyai keyakinan diri seperti dahulu.”

Ia boleh menjadi 4-0 apabila percubaan Depay terkena palang di waktu pertahanan Jerman goyah pada 10 minit yang terakhir.

Jika pasukan bimbingan Low tewas kepada juara dunia Perancis di Paris pada Selasa ini, ia bakal menandakan kekalahan keenam Jerman pada tahun ini, sesuatu yang tidak bagus buat Low.

Setelah membawa Jerman memenangi Piala Dunia 2014, Low berasa jengkel apabila ditanya sama ada kekalahan ini adalah perlawanan ke 168 – dan yang terakhir – buatnya.

“Kepada saya, atau apa?” balasnya, seolah-olah kebingungan.

“Kita perlu bergerak dengan cepat (ke soalan yang lain), saya bukan orang yang betul untuk bercakap mengenai perkara itu.”

Low baru sahaja menandatangani kontrak baharu bersama Persatuan Bola Sepak Jerman (DFB) pada bulan Mei sehingga Piala Dunia yang seterusnya, tetapi jika keputusan perlawanan tidak diperbaiki, adalah mustahil untuk dia menghabiskan kontrak itu.

Selepas kempen Piala Dunia yang memalukan apabila Jerman menamatkan peringkat kumpulan di tangga tercorot, mereka sekali lagi mendapati kini di tempat terakhir di dalam pertandingan Liga Negara-Negara.

Jerman perlu memenangi kedua-dua perlawanan terakhir mereka, menentang Perancis pada hari Selasa dan Belanda di Gelsenkirchen pada 19 November nanti, atau mereka akan tersingkir daripada musim pembukaan pertandingan ini.

Di negara mereka, akhbar-akhbar utama Jerman tidak memberi belas kasihan terhadap ketua jurulatih pasukan kebangsaan mereka.

“Keputusan terburuk Low! Meluat dengan persoalan mengenai masa depannya sebagai ketua jurulatih,” adalah tajuk utama surat khabar Bild di Jerman.

Majalah bola sepak Kicker pula memetik walaupun Low berjanji untuk memberi permulaan baru, namun tiada apa yang berubah.

“Permulaan barharu? Pasukan bimbingan Low masih meneruskan kisah dari Piala Dunia.

“Selepas kekalahan 3-0. pasukan Jerman kini bertanding menentang penyingkiran. Ini bukan secara tiba-tiba, tetapi adalah akibat daripada beberapa siri kesilapan.

“Ia menimbulkan semula persoalan mengenai masa depan Joachim Low.”

Akhbar-akhbar tempatan lain juga turut menyelar Low.

“Satu petang yang menakutkan,” tulis akhbar Sueddeutsche Zeitung yang berpangkalan di Munich, yang melaporkan pada hari Sabtu mengenai kontrak Low mempunyai syarat membenarkan kedua-dua belah pihak untuk menamatkan kontrak itu awal.

Sebagai sebuah negara yang bangga dengan bola sepaknya, Akhbar Welt menegaskan satu kebenaran yang pahit, “Kekalahan 3-0 kepada Belanda – Jerman kini hanya sebuah negara Eropah yang biasa-biasa sahaja.”

“Low perlu melupakan kemenangan Piala Dunia mereka,” komen sebuah akhbar yang turut dikatakan oleh kebanyakkan penyokong.

“Low semakin kehabisan idea. Dia perlu bertindak – pasukan mereka memerlukan dorongan baharu.”

Walaupun Low terus memberi kepercayaan kepada pemain-pemain senior, gandingan Manuel Neuer, Jerome Boateng, Mats Hummels dan Thomas Mueller sekali lagi goyah.

Hummels yang gemar menyalahkan pihak lain di atas kekalahan mereka baru-baru ini, kali ini menyalahkan barisan serangan apabila Timo Werner, Mark Uth, Mueller dan Leroy Sane banyak melepaskan peluang.

Walau bagaimanapun, Low menyalahkan pemain-pemain seniornya kerana gagal untuk betindak balas.

“Anda dapat lihat keyakinan itu tiada selepas beberapa bulan ini, kami telah kehilangan arah,” akui Low.

“Di 10 minit terakhir, para pemain perlu mengambil tanggungjawab dan tidak berlari tanpa tujuan.

“Kami hanya boleh menyalahkan diri sendiri selepas kekalahan ini.”

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker