AntarabangsaIsu Semasa

AS Cuba Tumbangkan Kerajaan Iran?

Ketika berucap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada bulan lepas, Presiden Iran, Hassan Rouhani mendakwa bahawa Amerika Syarikat (AS) cuba menjatuhkan kerajaan pimpinannya.

Hassan berkata, AS juga menolak perbincangan dua hala di antara kedua-dua negara selepas Presiden Donald Trump mengecam pemimpin-pemimpin Iran.

Bukan itu sahaja, malah Trump turut berikrar untuk mengenakan sekatan yang lebih berat ke atas Iran untuk ‘memaksa’ negara Timur Tengah itu bersetuju mengadakan rundingan mengenai program nuklearnya.

Memetik laporan AFP, Hassan juga mendakwa bahawa pentadbiran Trump melanggar undang-undang antarabangsa dan “kewajipan negaranya” dari pemerintahan bekas presiden, Barack Obama dengan menarik diri daripada perjanjian nuklear 2015 yang telah ditandatangani oleh Iran bersama AS serta lima kuasa besar lain.

“Bagaimana kita hendak mencapai sebarang persetujuan dengan adanya pentadbiran yang berperangai seperti ini?

“Ia adalah ironik bahawa kerajaan AS ‘tidak menyembunyikan’ rancangan mereka untuk menjatuhkan kerajaan yang ia mahu mengadakan rundingan bersama,” ujar Hassan.

Difahamkan, beliau telah mempelawa AS untuk mengadakan semula rundingan dalaman bersama Majlis Keselamatan PBB, di mana majlis tersebut turut menyokong perjanjian nuklear berkenaan.

Tegas Hassan, kedua-dua pihak boleh berbincang dan mendengar di antara satu sama lain sekiranya mesyuarat diadakan menerusi platform itu.

“Dialog ini dimulakan dengan ancaman yang tiada penghujungnya serta sekatan tidak adil yang melanggar prinsip dan etika undang-undang antarabangsa.

“Apa yang Iran katakan adalah jelas: tiada peperangan, tiada sekatan, tiada ancaman, tiada pembulian. Hanya bertindak berlandaskan undang-undang dan memenuhi kewajipan,” tegasnya.

Hassan turut menyatakan bahawa pemahaman AS mengenai hubungan antarabangsa bersifat “kuku besi”.

Sementara itu, Trump pula di dalam ucapannya berkata, AS “menolak ideologi globalisme” yang menyokong “doktrin patriotisme.”

Presiden berkontroversi itu juga menuduh Iran mengamalkan pemerintahan “diktator korup dan kemusnahan” serta menyebabkan kekacauan di seluruh Timur Tengah dan tempat lain.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker