AntarabangsaIsu Semasa

Abu Sayyaf ‘Bangkit’ Semula Selepas Hampir 2 Tahun Bersembunyi

Selepas hampir dua tahun ‘berdiam diri’, kebangkitan semula kumpulan menculik untuk tebusan (KFR) militan Abu Sayyaf membawa ancaman baru terhadap kawasan pantai timur Sabah.

Memetik laporan The Star, sub-komander kumpulan itu kini berkumpul semula selepas sekian lama bersembunyi.

Beberapa orang sub-komander, yang dipercayai terbunuh di dalam operasi ketenteraan besar-besaran Presiden Filipina, Rodrigo Duterte pada tahun 2016 untuk memerangi militan itu di kubu kuat mereka di pulau Jolo, telah ‘hidup semula’ dan kini sedang menyasarkan kawasan pantai timur Sabah untuk menculik mangsa-mangasa yang “bernilai tinggi.”

Salah seorang sub-komander itu adalah Indang Susukan, di mana dia sebelum ini dilaporkan telah maut apabila isteri serta anak-anaknya terbunuh dalam sebuah serangan yang dilancarkan oleh pasukan keselamatan ke atas pusat operasinya di Talipao, pulau Jolo.

Sebelum ini, beberapa tebusan turut berada di bawah tahanannya iaitu:

1. Dua saudara Tung dari Negeri Sembilan yang diculik pada tahun 2012

2. Warga Taiwan, Chang An Wei, diculik dari pulau Pom Pom pada tahun 2013

3. Bernard Then, satu-satunya rakyat Malaysia yang dipenggal kepala oleh Abu Sayyaf

Pihak berkuasa Filipina mempercayai bahawa Indang sedang merancang untuk melakukan penculikan rentas sempadan.

Difahamkan, militan itu juga telah pulih daripada kecederaan yang dialami akibat tembakan ketika pertempuran dengan pasukan keselamatan, dan kekal ‘low profile’ sejak itu.

Bukan itu sahaja, malah dia turut dilaporkan telah mengubah penampilannya dengan mewarnakan rambut panjangnya berwarna hitam kepada perang.

Menurut sumber perisikan serantau, Indang sedang bekerjasama dengan seorang lagi sub-komander Abu Sayyaf, iaitu Hatib Sawadjan, yang berjaya menyembunyikan diri ketika operasi memerangi kumpulan itu di Filipina.

Sumber itu berkata, kedua-dua sub-komander tersebut menerima pembiayaan daripada segelintir ahli politik ‘warlords’ di Filipina yang dilihat kurang senang dengan tindakan kerajaan pusat meluluskan Undang-UndangĀ OrganikĀ Bangsamoro (BOL).

Undang-undang ini akan memberikan kuasa autonomi yang luas ke atas pulau di sekitar Mindanao yang didiami oleh majoriti penduduk Islam.

Kata sumber tersebut lagi, puak ‘warlords’ – menerusi sub-komander Abu Sayyaf – telah membiayai kira-kira 1.7 juta peso (RM170,000) bagi dua KFR untuk melaksanakan kegiatan penculikan di kawasan perairan Pantai Timur Sabah.

Difahamkan, salah satu kumpulan itu yang dipimpin oleh Amah Ullah @ Suraka dan mempunyai sekurang-kurangnya 8 individu bersenjata, cuba menyasarkan bot tunda yang membawa kelapa sawit di perairan Tambisan, Lahad Datu pada 10 Ogos lalu.

Namun, rancangan mereka gagal apabila pihak berkuasa Malaysia tiba di lokasi kejadian setelah menerima isyarat kecemasan daripada seorang krew yang bersembunyi di dalam bot itu.

 

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker