AntarabangsaIsu Semasa

Nilai Rupiah Jatuh, Tempe Pun Semakin ‘Mengecil’

Akibat kejatuhan matawang Rupiah, tempe, salah satu snek yang paling popular di Indonesia, turut terjejas memandangkan kos untuk mengimport kacang soya mengalami peningkatan.

Memetik laporan Bloomberg, Rupiah jatuh pada kadar 10% bagi tahun ini, dan ia merupakan kejatuhan yang terburuk dalam tempoh dua dekad.

Ini sekali gus menjadikan Rupiah sebagai matawang kedua yang mencatatkan prestasi terburuk di seluruh Asia.

Kini, harga membuat tempe yang pada asalnya murah kini menjadi mahal, di mana ia terpaksa dijual pada harga yang tinggi untuk mendapat keuntungan yang sewajarnya.

Namun, pembuat-pembuat tempe, termasuk Rasako, 50, terpaksa mengurangkan saiz produk mereka demi menjimatkan kos kerana sekiranya meningkatkan harga, ramai pelanggan akan ‘lari’.

“Situasi ini benar-benar memeningkan kepala kami. Kami (rasa seperti) mahu menjerit, tetapi ia tidak berguna.

“Jadi kami hanya buat apa sahaja yang boleh dilakukan, kerana kami bergantung kepada kacang soya yang diimport memandangkan kualiti (tempe) hasil tempatan tidak berapa bagus,” katanya.

Difahamkan, bapa kepada empat orang anak itu juga mengawasi seramai 30 keluarga pembuat tempe di Jakarta.

Berikutan krisis ekonomi ini, kerajaan Indonesia telah mengambil pelbagai langkah untuk membendung import dan memperlahankan defisit akaun semasa, sementara Bank Pusat negara itu pula meningkatkan kadar faedah sebanyak lima kali ganda sejak bulan Mei dan menghabiskan rizab pertukaran asing.

Tempe merupakan salah satu produk yang akan mengalami impak besar jika berlakunya naik turun matawang, kerana bahan utamanya adalah kacang soya dari Amerika Syarikat (AS), yang merangkumi lebih 90% daripada import secara keseluruhan.

Rasako dan pembuat-pembuat tempe lain pula membeli 50 kilogram (kg) kacang soya setiap hari daripada pemborong.

Dalam pada itu, harga kacang soya AS di Jakarta meningkat sebanyak 27% sejak dua bulan lalu kepada 8,500 Rupiah (RM2.32) setiap kg.

Rasako berkata, harga plastik yang digunakan bagi membungkus kacang soya semasa proses penapaian untuk membuat tempe pula mengalami peningkatan sebanyak 20% kepada 30,000 Rupiah (RM8.19) setiap kg.

Ujarnya lagi, para pembuat tempe juga terpaksa mengurangkan saiz produk mereka daripada 20 cm kepada 17 cm untuk menjualnya pada harga yang sama, susulan kos pembuatan yang semakin meningkat.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker