AntarabangsaIsu Semasa

Indonesia Arah Bantuan Asing Keluar Dari Zon Bencana?

Pada Rabu, Indonesia telah mengarahkan petugas bantuan asing bebas untuk meninggalkan kawasan-kawasan yang terjejas akibat gempa bumi dan tsunami di bandar Palu, Pulau Sulawesi.

Pihak berkuasa tempatan turut meminta pertubuhan asing serta kakitangan mereka untuk mengambil langkah yang sama.

Difahamkan, Indonesia secara tradisinya memang enggan menerima bantuan asing ketika menghadapi bencana alam kerana tidak mahu dilihat seperti “terlalu bergantung” kepada bantuan pihak luar.

Kerajaan negara tersebut juga telah menolak bantuan asing ketika pulau Lombok dilanda gempa bumi sebelum ini, namun ia mengalu-alukan bantuan luar untuk menangani kesan pasca gempa bumi-tsunami yang berlaku 28 September lalu di Sulawesi.

Walau bagaimanapun, terdapat segelintir pertubuhan bantuan asing yang mendakwa bahawa mereka mengalami kesukaran mendapatkan permit untuk membawa masuk kakitangan serta peralatan/kelengkapan, dan kekeliruan mengenai peraturan tersebut.

Memetik laporan Reuters, agensi bencana nasional Indonesia juga menggariskan ‘sekatan-sekatan’ yang perlu dipatuhi oleh badan bukan kerajaan (NGO) asing menerusi notis yang dimuat naik di laman Twitter.

Antaranya adalah pertubuhan asing dilarang untuk “masuk secara langsung” ke zon-zon bencana, dan perlu melakukan segala kegiatan mereka “dengan kerjasama” pihak tempatan.

“Warga asing yang bekerja bersama NGO luar tidak dibenarkan untuk melaksanakan sebarang aktiviti di kawasan-kawasan yang terjejas.

“NGO asing yang telah membawa kakitangan luar dinasihatkan untuk memanggil pulang pekerja mereka dengan segera,” kata agensi tersebut.

Selain daripada mahu menunjukkan keupayaan menangani bencana alam dengan sendiri, kerajaan Indonesia juga berhati-hati untuk tidak menjadi terlalu terbuka menerima bantuan asing memandangkan mereka berpotensi berhadapan kritikan daripada musuh-musuh politik.

Salah satu bantahan utama adalah kehadiran kakitangan/anggota tentera asing kerana ia dilihat sebagai ‘melanggar kedaulatan negara”.

“Terdapat sensitiviti politik, terutamanya kerana pilihan raya akan diadakan, dan satu lagi isu adalah kedaulatan,” kata Keith Loveard, seorang penganalisis kanan di firma penasihat dan risiko, Concord Consulting.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker