Isu SemasaMalaysiaPolitik

Anwar Dijangka Tewaskan 6 Calon Lain di PD

Hari ini merupakan hari yang penting bagi Port Dickson kerana ia merupakan hari penentuan untuk pilihan raya kecil Parlimen itu. Jika Datuk Seri Anwar Ibrahim menang PRK ini, beliau akan mengambil alih jawatan perdana menteri ke-8 negara dari Tun Dr Mahathir Mohamad.

Jika dilihat, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai peluang yang cerah untuk menang besar dalam pilihan raya kecil ini sekaligus mengetepikan enam lagi pencabarnya.

Pengarah Eksekutif Pusat Ilham, Azlan Zainal berkata tinjauan oleh firma penyelidikan bebas itu menunjukkan bahawa presiden PKR itu tidak menghadapi sebarang persaingan daripada enam calon lain yang bertanding untuk kerusi itu.

Beliau berkata calon yang dilihat sebagai pencabar terdekat Anwar adalah bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, manakala calon PAS, Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar mungkin kehilangan wang depositnya.

Beliau berkata status Anwar sebagai bakal perdana menteri ke-8 memberi kelebihan untuknya menjadi lebih menonjol dalam pilihan raya kecil ini berbanding dengan calon lain.

“Anwar tetap menjadi calon tunggal yang paling dikagumi dalam satu siri kempen yang dilaksanakan secara teratur dengan jentera pilihan raya yang ditempatkan di setiap pusat pengundian dan variasi bahan kempen yang dapat dilihat di sekitar Port Dickson.

“Tinjauan menunjukkan bahawa 64 peratus pengundi menerima Anwar yang memilih Port Dickson sebagai pangkalannya untuk menjadi Perdana Menteri selepas Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Persoalan yang timbul di kalangan pengundi, adalah sejauh mana keinginan Anwar untuk kekal di Port Dickson pada Pilihan Raya Umum Ke-15, jika menang dalam pilihan raya kecil ini kerana beliau tidak mempunyai nilai sentimental dan legasi di kerusi itu,” katanya kepada NST.

Azlan berkata satu kaji selidik yang melibatkan 817 responden di Port Dickson juga mendapati Isa Samad masih mempunyai pengaruh yang kuat, terutamanya di bahagian Bagan Pinang dan kawasan Linggi walaupun ahli politik veteran itu tidak bertanding di bawah Barisan Nasional (BN) atau UMNO.

Beliau berkata para pengundi yang lebih tua dan veteran Umno menghargai jasa dan khidmat yang telah diberikan Isa dalam membangunkan Negeri itu ketika menjadi Adun Bagan Pinang dan Menteri Besar.

Walau bagaimanapun, keputusan Isa untuk bertanding sebagai calon bebas kemungkinan akan menjejaskan undi yang datang daripada beberapa ahli Umno dan penyokong serta pengundi yang berumur di bawah 40 tahun, kerana mereka tidak mempunyai nilai sentimental kepadanya.

“Isa juga telah kehilangan undi Cina dan India. Pengundi bukan Melayu masih memihak kepada Pakatan Harapan (PH) dan penolakan calon selain daripada parti-parti politik PH sangat kuat,” kata Azlan.

Beliau berkata jentera pilihan raya PAS juga lumpuh dan masih rugi dengan majoriti anggotanya menyertai Parti Amanah Negara (PAN). Kempen mereka juga hanya memberi tumpuan kepada pengundi Melayu, terutamanya dalam kubu Umno.

“Berdasarkan tinjauan kami, PAS gagal mendapat sokongan undi Melayu yang cukup dan menduduki tempat ketiga selepas Isa,” katanya

Selain Pas, Azlan juga menjangkakan semua calon Bebas lain kehilangan wang pendahuluan mereka.

Azlan mengakui bahawa kehadiran Dr Mahathir di Port Dickson juga telah membantu perjuangan Anwar dan memberikan kelebihan semangat untuk kempen jentera pilihan raya PH serta memberikan dorongan dan keyakinan yang diperlukan untuk pengundi Melayu untuk memberikan undi.

“Walaupun kemenangan untuk Anwar dilihat hampir pasti, tetapi keputusan yang diambil oleh pengundi Melayu akan menjadi kayu ukur utama kejayaannya di Port Dickson.

Pilihanraya kecil PD akan menjadi PRK yang keempat sejak PRU pada 9 Mei, tetapi akan menjadi yang pertama untuk kerusi parlimen. Ketiga-tiga pilihan raya kecil sebelum ini berlaku di semua kerusi DUN Selangor untuk Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong berikutan kematian wakil rakyat.

Keputusan rasmi pilihan raya ini dijangka akan diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya seawal jam 10 malam ini.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker