Sukan

Cheng Hoe: Koyakkan Pertahanan Sri Lanka Sumareh!

Pemain naturalisasi pertama Harimau Malaya di dalam era moden, Mohamadou Sumareh yang dilahirkan di Gambia akan menjadi pemain sandaran buat pasukan kebangsaan bagi meneruskan rentak kemenangan mereka apabila berdepan Sri Lanka di dalam perlawanan persahabatan Kelas A di Stadium Sugathadasa di Colombo hari ini.

Jurulatih kebangsaan Tan Cheng Hoe mengaku bahawa pemain penyerang Pahang itu mempunyai kualiti yang diperlukan bagi mengkucar-kacirkan barisan pertahanan Sri Lanka, dan dia tidak sabar untuk melihatnya.

“Persembahan Sumareh di dalam Liga Super Malaysia adalah sedikit berbeza kerana corak permainan yang digunakan Pahang membenarkan Sumareh untuk bermain secara individu, tetapi kami memerlukan dia untuk menjadi setajam yang boleh bagi menembusi gawang pihak lawan.

“Saya berharap dia dapat menyesuaikan diri dengan corak permainan pasukan kebangsaan dan saya mahu dia melakukan yang terbaik jika dia diturunkan ketika menentang Sri Lanka nanti.

“Kehadiran Sumareh memberikan saya lebih banyak pilihan di bahagian serangan dan saya berharap siapa jua pemain yang terpilih akan dapat menjalankan tugas mereka dan bermain untuk menang,” ujar Cheng Hoe apabila ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas bersama-sama pasukan kebangsaan ke Colombo pada hari Rabu.

Sebelum itu, Cheng Hoe ada menyatakan bahawa dia hanya membawa 22 orang pemain bersamanya ke Colombo untuk perlawanan persahabatan itu, manakala tiga orang pemain lagi ditinggalkan. Rawlison Batuil, Akram Mahinan dan Nor Hakim Hassan tidak tersenarai di dalam senarai pemain pilihan Cheng Hoe akibat kecederaan. Sementara itu, pemain Bawah-19 Nik Akif Syahiran Nik Mat turut sama berlepas ke Colombo bersama-sama pasukan senior kebangsaan.

Ketika bercakap mengenai perlawanan persahabatan mereka menentang Sri Lanka yang menduduki tangga ke-199 dunia, Cheng Hoe menegaskan dia masih lagi mencari formula yang sesuai serta kombinasi pemain yang tepat yang turut akan digunakan di dalam Piala AFF bulan hadapan.

“Semestinya kita mahu merekodkan keputusan positif dan para pemain harus menunjukan kemajuan berterusan¬† di setiap perlawanan, walaupun di dalam perlawanan persahabatan.

“Saya akan turut memberi peluang kepada pemain-pemain baru untuk membuktikan diri mereka sebelum saya membuat keputusan mengenai skuad piala AFF,” tambah Cheng Hoe lagi.

Selepas perlawanan mereka dengan Sri Lanka di Colombo, Cheng Hoe dan anak-anak buahnya yang kini menduduki tangga ke-171 dunia akan menentang Kyrgyzstan yang menduduki tangga ke-91 dunia di stadium Hang Jebat di Melaka.

Di dalam lima perlawanan persahabatan mereka sebelum ini, Harimau Malaya merekodkan tiga kemenangan, membelasah Bhutan 7-0, kemenangan tipis 1-0 ke atas Fiji dan menang 3-1 menentang jiran Kemboja. Sementara Mongolia mengikat Harimau Malaya dengan keputusan seri 2-2 dan tewas kepada Taiwan 2-0.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker