Isu SemasaTempatan

Adakah China Akan “Marah” Pada Malaysia?

Kerajaan Malaysia telah menentang permohonan China apabila membebaskan 11 orang etnik Muslim Uighur yang melarikan diri ke negara ini, selepas mereka meloloskan diri dari penjara Thailand pada tahun lepas.

Memetik laporan Reuters, China memohon agar semua tahanan yang sudah dibebaskan itu dihantar ke Beijing, namun Malaysia sebaliknya menghantar mereka ke Turki.

Langkah ini juga dilaporkan berpotensi untuk mengeruhkan hubungan diplomatik di antara Malaysia dan China, yang sudah pun teruji apabila kerajaan baru Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah membatalkan projek yang diberikan kepada syarikat China berjumlah lebih AS$20 bilion (RM83.17 bilion).

Menurut Fahmi Moin, peguam kepada tahanan-tahanan berkenaan, pendakwa rakya di Malaysia telah menggugurkan tuduhan di atas dasar kemanusiaan, dan mereka kini berada di Turki selepas diterbangkan keluar dari Kuala Lumpur pada Selasa.

“Tuduhan terhadap mereka telah digugurkan kerana Pejabat Peguam Negara menerima rayuan daripada pihak kami,” katanya.

Difahamkan, 11 orang lelaki tersebut telah ditahan dan didakwa atas kesalahan memasuki Malaysia secara haram pada bulan November lepas.

Pada bulan Februari tahun ini pula, laporan Reuters menyatakan bahawa Malaysia menerima tekanan hebat dari China supaya menghantar tahanan-tahanan itu pulang ke negara berkenaan.

Namun, segelintir pihak Barat cuba menghalang langkah itu kerana China didakwa melakukan penindasan dan penganiayaan ke atas etnik Uighur.

Sementara itu, China juga menuduh bahawa terdapat puak pemisah ekstremis dalam kalangan etnik minoriti itu yang merancang untuk melancarkan serangan ke atas wilayah Xinjiang dan lokasi-lokasi lain.

Sebagai usaha “mengekang keganasan”, Beijing turut didakwa melakukan pelanggaran hak asasi manusia dengan menyeksa tahanan-tahanan Uighur dan  menempatkan mereka di ‘kem pendidikan semula’ di Xinjiang.

Kem tersebut bertujuan untuk mengubah pemikiran politik tahanan, menghapuskan kepercayaan mereka terhadap agama Islam, serta membentuk semula identiti mereka.

Oleh yang demikian, ribuan Uighur telah melarikan diri ke Turki dengan melalui negara-negara di Asia Tenggara.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker