AntarabangsaIsu Semasa

Wanita India Mampu Sumbang RM3 Trilion Kepada Ekonomi Negara?

Di India, jarang untuk melihat syarikat permulaan (startup) yang diasaskan oleh kaum wanita. Kerajaan dan industri teknologi berharap dapat mengubah situasi tersebut serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dalam proses itu.

Hanya kira-kira 8% hingga 10% daripada usahawan India adalah wanita, menurut seorang eksekutif kanan di badan industri teknologi utama India, Nasscom. Angka tersebut jauh lebih rendah daripada Amerika Syarikat, di mana 39% daripada firma swasta adalah milik wanita, menurut satu laporan tahun lepas oleh American Express.

“Semoga dalam masa tiga hingga empat tahun akan datang, bilangan usahawan wanita, yang diterajui oleh teknologi, akan berubah secara drastik,” kata KS Vishwanathan, naib presiden inisiatif industri di Nasscom, pada sidang akhbar di New Delhi.

Acara itu dianjurkan oleh Facebook (FB), yang menekankan inisiatifnya sendiri untuk menggalakkan usahawan wanita.

“Kita perlu lakukan banyak kerja untuk memastikan wanita dapat menjalankan perniagaan berteknologi,” kata Satyajeet Singh, ketua perkongsian platform Facebook di India.

Syarikat tersebut telah menganjurkan program pertemuan dan bimbingan untuk lebih 170 usahawan wanita di 24 bandar raya India sejak tahun lepas, tambah Singh.

Satu kaji selidik yang ditugaskan oleh Facebook tahun lepas mendapati empat daripada lima wanita di India ingin menjadi usahawan, dan negara itu kehilangan banyak peluang perniagaan dan pekerjaan baharu kerana gagal memperkasa wanita.

Google juga mempunyai program untuk menyokong wanita India yang ingin melancarkan startup, sementara itu jumlah wanita yang mendaftar untuk program Nasscom yang melatih untuk memulakan kerjaya dalam teknologi adalah “sangat tinggi”, iaitu kira-kira 4,000 hingga 5,000 orang, kata Vishwanathan.

Kerajaan India juga telah melancarkan beberapa program yang bertujuan untuk membantu wanita memulakan startup.

Walau bagaimanapun, India perlu tangani beberapa masalah terlebih dahulu. Penyelidikan Facebook menunjukkan bahawa hanya 2% daripada dana yang dibangkitkan oleh startup di India pada tahun 2017 diberi kepada pengasas perempuan.

Negara tersebut juga mempunyai salah satu kadar penyertaan pekerja wanita terendah di dunia. Hanya kira-kira 27% wanita India berumur 15 tahun ke atas diklasifikasikan sebagai bekerja atau mencari pekerjaan secara aktif, menurut data baharu yang diterbitkan oleh Bank Dunia.

Satu laporan yang diterbitkan oleh McKinsey pada awal tahun ini berkata, India boleh menambah sebanyak $770 bilion (RM 3 trilion) kepada ekonomi yang telah berkembang pesat dengan hanya menangani ketidaksamaan jantina dalam tenaga kerja.

Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker