AntarabangsaIsu Semasa

Siapa Dalang Di Sebalik Pembunuhan Wartawan Terkemuka, Jamal Khashoggi?

Kehilangan wartawan Arab Saudi, Jamal Khashoggi sejak Selasa minggu lepas lagi (2 Oktober 2018) menimbulkan pelbagai persoalan dan spekulasi.

Namun kini, persoalan mungkin sudah terjawab.

Memetik laporan Al-Jazeera, akhbar The New York Times melaporkan bahawa beliau telah dibunuh oleh pasukan pembunuh yang dihantar oleh kerajaan Arab Saudi di Kedutaan Riyadh di Istanbul, Turki.

Menurut laporan lagi, seorang pakar forensik juga menjadi sebahagian daripada kumpulan pembunuh itu, di mana dia telah membawa gergaji tulang untuk memotong anggota mayat mangsa selepas membunuhnya.

Pegawai kanan Turki pula mendedahkan bahawa operasi pembunuhan itu selesai dilaksanakan dalam tempoh dua jam sahaja, dan pasukan pembunuh kemudian terus meninggalkan Turki dan pergi ke pelbagai negara lain.

“Ia seperti (filem) Fiksyen Pulpa,” kata seorang pegawai berkenaan merujuk kepada filem Hollywood ganas yang dihasilkan oleh pengarah terkemuka, Quentin Tarantino.

Sementara itu, segala tuduhan membabitkan kepimpinan Arab Saudi sebagai dalang pembunuhan itu akan memberi tekanan hebat ke atas Amerika Syarikat (AS) dan sekutu-sekutunya yang lain untuk meminta agar sebuah siasatan telus diadakan.

Memandangkan Arab Saudi adalah salah sebuah negara yang menjalinkan hubungan diplomatik rapat dengan AS, pertalian di antara kedua-dua negara itu juga berpotensi untuk terjejas.

Namun begitu, pegawai-pegawai Riyadh secara keras menafikan sebarang bentuk penglibatan di dalam kes Khashoggi, sambil berkata bahawa wartawan tersebut telah meninggalkan kedutaan itu pada 2 Oktober, iaitu tarikh kehilangannya.

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan turut menggesa Riyadh untuk membuktikan bahawa Khashoggi benar-benar telah meninggalkan bangunan kedutaan.

Kini, suspek-suspek yang dipercayai terbabit dikehendaki oleh pihak berkuasa Turki untuk disoal siasat.

Mengulas mengenai kes ini, Senat AS, Bob Corker menyatakan bahawa Arab Saudi perlu membuat penjelasan secara jelas berhubung pembunuhan Khashoggi memandangkan “semua jari menuding” ke negara itu.

“Ini menunjukkan bahawa apa sahaja yang telah berlaku kepadanya (mangsa), Arab Saudi perlu memberi penjelasan,” tegasnya.

Dalam pada itu, wartawan Al-Jazeera, Patty Culhane berkata, laporan mengenai kes Khashoggi yang kini sedang berleluasa akan meningkatkan tekanan ke atas kerajaan AS untuk mengambil tindakan selanjutnya.

“Berita ini menjadi berita muka hadapan. Ia disambut dengan perasaan marah yang semakin meningkat memandangkan setiap berita mendedahkan maklumat baru,” ujarnya.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker