Isu SemasaTempatan

Penjara Seumur Hidup Akan Ganti Hukuman Gantung Sampai Mati?

Gantung sampai mati merupakan salah satu hukuman yang paling ditakuti oleh penjenayah-penjenayah yang melakukan kesalahan besar, termasuk mengedar dadah, memiliki senjata api secara haram, dan membunuh.

Namun baru-baru ini, barisan jemaah menteri (Kabinet) telah bersetuju untuk memansuhkan hukuman berkenaan dan menggantikannya dengan hukuman penjara seumur hidup.

Menurut Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, pindaan ke atas undang-undang hukuman mati sedia ada sebagai hukuman mandatori akan dibentangkan dalam persidangan Parlimen yang akan bermula pada 15 Oktober nanti.

Liew berkata, kertas kerja berhubung pemansuhan ini sudah pun berada di peringkat akhir dan telah menerima lampu hijau daripada Jabatan Peguam Negara untuk dibentangkan di Dewan Rakyat.

“Semua hukuman mati akan dimansuhkan….(Namun) kita sedang mengkaji isu-isu tertentu…Kita perlu menelitinya dan mendengar pandangan semua pihak, tetapi pada waktu ini, keputusannya adalah untuk memansuhkan hukuman mati,” katanya selepas sesi Bual Bicara Reformasi Undang-undang di Universiti Malaya, pada Rabu.

Lapor New Straits Times, Liew berkata,  Lembaga Pengampunan kini ditugaskan untuk meneliti kedudukan pesalah-pesalah yang bakal dihukum gantung bagi menentukan sama ada hukuman mereka dikurangkan atau membebaskan mereka.

“Kami berpandangan bahawa hukuman mati tidak patut dilaksanakan. Kami akan memaklumkan Lembaga Pengampunan untuk meneliti permohonan-permohonan bagi semua banduan yang bakal digantung untuk sama ada mengurangkannya (hukuman) atau membebaskan mereka.

“Apabila (hukuman) dikurangkan, mereka akan melalui hukuman penjara seumur hidup kerana terdapat beberapa kematian yang dilakukan oleh pesalah dan mereka telah dijatuhkan hukuman mati oleh mahkamah,” jelasnya.

Tambah beliau, setiap pesalah juga perlu diberi pertimbangan yang berbeza berdasarkan jenis kesalahan yang dilakukan.

Di antara tahun 2007 dan 2017, hukuman gantung sampai mati telah dilaksanakan ke atas 35 pesalah. Kini, terdapat seramai 1,267 pesalah, iaitu 2.7% daripada 60,000 banduan di penjara yang sedang menanti hukuman itu.

Sementara itu, berikut adalah senarai kesalahan-kesalahan yang membawa kepada hukuman mati seperti yang tertakluk di bawah undang-undang negara (Sumber – Infografik NST):

KANUN KESEKSAAN

Seksyen 121: Berperang atau mencuba berperang atau menyubahati perang melawan Yang di-Pertuan Agong, Raja atau Yang di-Pertua Negeri.

Seksyen 121A: Kesalahan-kesalahan terhadap tubuh Yang di-Pertuan Agong, Raja atau Yang di-Pertua Negeri.

Seksyen 132: Menyubahati dahagi, jika dahagi dilakukan oleh sebab subahat itu

Seksyen 302: Membunuh

Seksyen 305: Persubahatan bagi kanak-kanak atau orang gila membunuh diri

Seksyen 307(2): Cubaan membunuh ketika sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup 

Seksyen 364: Menculik atau melarikan orang dengan tujuan hendak membunuh

Seksyen 374A: Mengambil tebusan dan kemudian tebusan terbunuh

Seksyen 376(4): Merogol sehingga menyebabkan kematian

Seksyen 396: Melakukan rompakan berkumpul serta pembunuhan

AKTA DADAH BERBAHAYA 1959

Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952: Pengedaran dadah berbahaya

 

AKTA SENJATA API (PENALTI LEBIH BERAT) 1971

Seksyen 3: Penalti bagi rakan sejenayah dalam hal melepaskan tembakan senjata
api

Seksyen 3A: Penalti bagi rakan sejenayah dalam hal melepaskan tembakan senjata
api

 

AKTA PENCULIKAN 1961

Seksyen 3 (1): Menculik untuk wang tebusan

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker