Isu SemasaPolitikTempatan

Rupa-Rupanya, Wan Azizah Pernah Ditawar Untuk Jadi Perdana Menteri

Timbalan Perdana Menteri (TPM), Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail baru-baru ini mengakui bahawa beliau telah ditawarkan jawatan Perdana Menteri (PM) selepas kemenangan bersejarah Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lalu.

Difahamkan, beliau mengongsikan perkara tersebut buat julung kalinya ketika berucap di Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia, sempena lawatan kerja pertamanya sebagai TPM ke negara itu, di hadapan kira-kira 200 rakyat Malaysia pada Selasa, 9 Oktober 2018.

Memetik laporan The Star, Dr. Wan Azizah menyatakan bahawa tawaran tersebut telah diberi oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V memandangkan beliau merupakan presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), dan simbol PKR juga digunakan oleh semua parti komponen PH ketika PRU14.

Tetapi pasti ramai yang tertanya-tanya, apa yang membuatkan beliau menolak tawaran itu?

Ini jawapan Dr. Wan Azizah:

“Walau bagaimanapun, saya menolak tawaran itu kerana kita (PH) telah berjanji (kepada rakyat) bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad akan menjadi Perdana Menteri dan saya menjadi Timbalan Perdana Menteri,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri itu turut mengakui bahawa PH tidak menyangka ia akan dapat menewaskan Barisan Nasional (BN) yang telah memerintah negara selama 61 tahun.

Dr. Wan Azizah juga melahirkan rasa syukur kerana PRU14 berjaya dilaksanakan secara aman dan demokratik, tanpa berlakunya sebarang perkara yang tidak diingini.

Bercakap tentang janji-janji manifesto PH yang masih belum lagi ditunaikan, beliau berharap agar rakyat Malaysia dapat bersabar sebelum kerajaan dapat melaksanakan sepenuhnya perubahan yang diinginkan.

Sementara itu, Dr. Wan Azizah turut ditanya sama ada kerajaan akan membuat penilaian ke atas menteri-menteri baru dan mencari pengganti bagi mereka yang gagal menunjukkan prestasi yang baik.

Jelas beliau, ia masih terlalu awal untuk berbuat demikian memandangkan kerajaan PH baru sahaja mengambil alih pentadbiran negara selama lima bulan.

“Beri kami sedikit masa kerana kami masih lagi dalam ‘learning curve’ (keluk pembelajaran),” katanya.

Ujarnya lagi, hanya segelintir sahaja Menteri Kabinet PH yang mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan seperti Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali juga mempunyai pengalaman mentadbir kerajaan negeri sebelum ini.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker