KerjayaPolitik

Perjalanan Mengagumkan Yeo Bee Yin Dari Estet Ke Parlimen

Dengan usia yang muda dan memiliki Sarjana Falsafah dalam Advanced Chemical Engineering dari Cambridge University, tidak hairanlah jika Yeo Bee Yin menjadi inspirasi kepada ramai wanita.

Tambahan lagi, wanita berusia 35 tahun itu menerajui portfolio Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim yang bukan hanya luas tetapi juga yang sangat teknikal.

Yeo dilahirkan pada 26 Mei 1983 di Batu Anam, sebuah kawasan estet terpencil di Segamat yang dikelilingi ladang getah dan kelapa sawit.

“Ia adalah kampung yang sangat kecil di mana tiada sesiapa dan tiada wanita yang memasuki universiti dan ibu saudara saya adalah wanita yang pertama.

“Dia memberi inspirasi kepada saya bahawa sebagai seorang gadis, saya boleh ke universiti juga dan saya tidak perlu menamatkan hidup saya dengan hanya berkahwin,” katanya kepada The Star.

Image result for yeo bee yin pkrMempunyai ibu saudara yang berjaya menamatkan pengajian dari universiti, memberi inspirasi kepadanya untuk mengikut jejak langkah itu. Ia juga membuka matanya kepada keperluan untuk menjadi suri teladan yang baik untuk wanita.

“Ketika saya masih muda, saya tidak pernah menganggap diri saya sebagai seorang ahli politik kerana tiada teladan. Lebih sukar bagi saya untuk membayangkan diri saya pergi ke universiti,” katanya.

Walau bagaimanapun, Yeo bukan sahaja berjaya menjejakkan kaki ke universiti. Beliau menjadi salah seorang daripada beberapa wanita yang mempelajari kejuruteraan kimia di Universiti Teknologi Petronas (UTP) di bawah Biasiswa Petronas dan lulus dengan kepujian kelas pertama sebelum menamatkan sarjana di Cambridge di bawah Biasiswa Gates Cambridge.

Selain itu, Yeo juga pernah berkhidmat di Schlumberger Limited, sebuah syarikat minyak terbesar di dunia dan beberapa tempat-tempat lain dunia seperti di Turkmenistan selama 2 tahun, Alexandria di Mesir dan Baku di Azerbaijan.

9 Mei 2008, Yeo memulakan perjalanannya dalam arena politik. Pada masa itu Pakatan Rakyat menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional di Parlimen dalam PRU13, yang pertama kali berlaku dalam sejarah.

Related image

“Apabila saya membaca berita dan menyaksikan berita tentang tsunami politik, saya menyedari betapa saya masih sayang dan peduli terhadap negara saya,” katanya.

Saat itu menyentuh Yeo, yang setelah setengah tahun, berhenti kerja. Selepas memenuhi impian peribadi beliau belajar di Cambridge, Yeo kembali ke Malaysia dengan semangat baru dan menyertai DAP pada 2012.

Dipilih untuk bertanding di kerusi DUN Damansara Utama pada pilihan raya umum pada tahun 2013, Yeo menang dengan majoriti 30,689, menjadikannya wakil rakyat termuda di Selangor.

Bagi Pilihan Raya Umum ke-14, beliau dipindahkan dari Selangor ke negeri asalnya untuk bertanding di kerusi Parlimen Bakri di Johor sebagai salah satu frontliner Pakatan Harapan dalam usaha untuk menawan negeri itu.

Yeo mengalahkan lawannya dengan majoriti 23,211 undi, majoriti tertinggi yang pernah dicapai untuk kawasan itu.

Sebagai seorang wanita muda dalam politik, Yeo tidak pernah lekang daripada menerima kritikan dan komen-komen negatif.

Bagaimanapun, Yeo yang juga Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan serta naib pengerusi Pemuda Pakatan Harapan, telah belajar dari awal dalam kerjaya politiknya untuk menolak kritikan itu dan memberi fokus kepada tugasnya.

Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker