AntarabangsaIsu Semasa

Eh, Betul Ke ‘The Punisher’ Kena Penyakit Kanser?

Lantang bersuara, berani, tegas, dan ‘brutal’ merupakan beberapa perkataan yang amat sesuai untuk menggambarkan personaliti Presiden Filipina, Rodrigo Duterte.

Turut diberi gelaran ‘The Punisher’, Duterte amat popular dikenali dengan kempen perang dadahnya yang telah meragut ribuan nyawa sejak beliau dilantik menjadi presiden negara itu pada tahun 2016.

Namun sejak kebelakangan ini, pemimpin Filipina itu dilihat gagal menghadirkan diri ke beberapa acara penting, termasuk mesyuarat Kabinet serta majlis awam.

Ini sekali gus menimbulkan spekulasi mengenai keadaan kesihatannya, di mana Duterte dikatakan menghidap penyakit kanser.

Bukan itu sahaja, malah beliau sebelum ini juga pernah meluahkan hasrat untuk bersara awal kerana sudah “tidak bertenaga”, selain daripada “bosan dengan amalan rasuah” dalam kalangan pegawai kerajaan.

Lebih membimbangkan lagi, Duterte dalam sebuah ucapan pada Khamis menyatakan bahawa beliau sedang menjalani pemeriksaan kesihatan atas arahan doktornya, sambil berkata:

“Jika ia kanser, maka kanserlah.”

Persoalannya, adakah benar Duterte sedang ‘menderita’ penyakit tersebut?

Dalam satu kenyataan pada Selasa, 9 Oktober 2018, beliau menjelaskan bahawa ujian kanser yang telah dijalaninya menunjukkan keputusan “negatif”.

“Ia (keputusan) negatif. Mereka (doktor) mengesyakinya (kanser), jadi mereka mengambil spesimen daripada saluran esofagus dan di ‘bahagian’ ini,” kata beliau merujuk kepada punggungnya, lapor AFP.

Sebelum ini juga, kerajaan pimpinannya menafikan bahawa Duterte sedang menjalani sebarang ujian kesihatan.

Ahli-ahli politik pembangkang turut menggesa agar keadaan kesihatan beliau didedahkan kepada umum, dengan memetik peruntukan yang termaktub di dalam Perlembagaan negara bahawa “orang awam perlu dimaklumkan mengenai kesihatan presiden sekiranya mengalami penyakit serius.”

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker