AntarabangsaGaya Hidup

Sistem Empat Hari Bekerja Lebih Berkesan Berbanding Lima?

Sebuah syarikat di New Zealand telah mengambil inisiatif untuk mengkaji keberkesanan empat hari bekerja berbanding lima selama seminggu.

Apa yang mengejutkan ialah percubaan mereka itu mendapat reaksi lebih memberangsangkan dan akan menggunakan jadual baharu untuk sepenuh masa.

Hampir 250 kakitangan di Perpetual Guardian, sebuah syarikat yang menguruskan dana amanah, wasiat dan perancangan harta tanah, menguji empat hari bekerja pada bulan Mac dan April tahun ini. Mereka bekerja untuk empat hari selama lapan jam tetapi dibayar untuk lima hari.

Ahli akademi yang mengkaji percubaan itu mendapati kakitangan di firma di seluruh negara itu melaporkan tahap tekanan yang lebih rendah, tahap kepuasan kerja yang lebih tinggi dan peningkatan keseimbangan antara kerjaya dan kehidupan.

Pengasas Perpetual Guardian, Andrew Barnes, berkata kakitangan boleh memilih sama ada untuk mengamalkan empat hari bekerja itu, dan peguam telah dirujuk untuk memastikan sistem baharu mematuhi undang-undang dan syarat pekerjaan New Zealand.

Pekerja yang memilih untuk tidak menyertai sistem empat hari bekerja masih akan ditawarkan pilihan fleksibel seperti masuk atau balik awal untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas atau untuk menguruskan penjagaan anak mereka.

Barnes pada mulanya memulakan percubaan setelah melihat tekanan kakitangannya dalam menguruskan kehidupan peribadi dan profesional mereka.

Barnes berfikir jika pekerjanya mempunyai satu hari lebih untuk mengurus kehidupan di rumah, mereka akan menjadi lebih fokus dan produktif di pejabat – dan bukti data dan anekdot telah membuktikan teorinya adalah tepat dan berjaya.

“Bagi kami, ini adalah tentang syarikat kami meningkatkan produktiviti dengan mengamalkan kecekapan tempat kerja yang lebih baik… ia bukan suatu kelemahan untuk kami,” katanya.

Menteri Hubungan Tempat Kerja New Zealand, Iain Lees-Galloway berkata, data di sebalik percubaan empat hari bekerja adalah “sangat menarik”, dan menambah bahawa beliau berminat untuk bekerja bersama bisnes lain untuk meneroka sistem baharu yang sesuai untuk kehidupan moden.

Data percubaan dikumpul oleh dua ahli akademik New Zealand sebelum dan selepas tempoh percubaan. Pada bulan November tahun lepas hanya separuh daripada kakitangan (54%) merasakan mereka boleh mengimbangi komitmen di tempat kerja dan rumah mereka, namun selepas percubaan bekerja empat hari, angka ini melonjak kepada 78%.

Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker