Isu SemasaPolitikTempatan

Mengapa Sebenarnya Saiful Bukhari Mahu Bertanding PRK PD?

Walaupun sudah lama berlalu, kebenaran di sebalik kes liwat yang membabitkan Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim (tertuduh) dan bekas pembantu khasnya (mangsa), Saiful Bukhari Azlan masih lagi dipersoalkan ramai.

Kini bertanding sebagai calon bebas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson, Saiful enggan menjadikan kisah silamnya sebagai ‘modal’ berkempen, tetapi mengakui bahawa ia adalah perkara yang sukar untuk mengelak soalan orang ramai mengenai perkara itu.

PRK Port Dickson yang akan berlangsung pada 13 Oktober ini bakal menyaksikan pertempuran 7 penjuru, termasuk Saiful dan bekas bosnya itu.

Tetapi, apa sebenarnya matlamat utama Saiful untuk merebut kerusi Parlimen tersebut?

Selain daripada berkhidmat untuk rakyat di Port Dickson, Saiful menjelaskan bahawa salah satu sebab utama mengapa beliau mahu bertanding adalah “menghalang Anwar daripada terus memusnahkan negara.”

“Beliau (Anwar) dijangka akan menjadi Perdana Menteri yang seterusnya. Saya perlu menghalang seseorang yang boleh menjejaskan negara daripada memegang kuasa (pemerintahan).

“Pada 13 Oktober (hari mengundi), apabila beliau memasuki kerajaan (jika menang), beliau akan berjuang untuk menjadi Perdana Menteri,” katanya.

Menjawab persoalan orang ramai berhubung isu liwat, Saiful menegaskan bahawa testimoni yang telah diberikan mengenai kes itu adalah perkara yang benar.

Memetik laporan The Sun Daily, Saiful berkata, beliau telah bersumpah sebanyak tiga kali bahawa insiden liwat pada tahun 2008 itu benar-benar berlaku, manakala Anwar pula tidak pernah bersumpah untuk menafikannya walaupun sekali.

“Saya telah membuat laporan polis berhubung perkara itu, dan bersumpah tiga kali, sekali di Masjid Wilayah Persekutuan, sekali di Makkah, dan sekali lagi di mahkamah. Tetapi Anwar tidak pernah bersumpah mengenainya.

“Liwat itu memang benar-benar berlaku,” katanya ketika menyampaikan ceramah kepada penduduk Kampung Teluk Pelanduk, pada Sabtu malam.

Difahamkan pada 26 Jun 2008, Saiful telah membuat laporan polis yang mendakwa dirinya diliwat Anwar di sebuah kondominium di Kuala Lumpur.

Pada Februari 2015, Anwar telah dijatuhkan hukuman penjara selama lima tahun oleh Mahkamah Persekutuan selepas disabitkan bersalah.

Namun begitu, bekas Timbalan Perdana Menteri itu telah menerima pengampunan penuh Yang di-Pertuan Agong pada 16 Mei lalu, selepas PH mencatatkan kemenangan bersejarah di dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Mengulas mengenai pengampunan yang diberi kepada Anwar, Saifu secara sinis menyatakan bahawa ia adalah “perkara biasa bagi mereka yang telah berdosa untuk meminta pengampunan.”

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker