AntarabangsaIsu Semasa

Betul Ke Sri Lanka Lebih ‘Selamat’ Di Bawah Militan LTTE?

Kumpulan militan yang bergelar Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE) atau lebih dikenali dengan nama popularnya, The Tamil Tigers, adalah kumpulan pengganas yang telah ditubuhkan sejak tahun 1972 lagi.

Bukan itu sahaja, malah mereka ini juga dianggap sebagai militan yang paling ‘brutal’ kerana menjadi satu-satunya kumpulan ekstrimis yang pernah membunuh dua orang pemimpin dunia.

Menurut Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), mereka ini juga merupakan perintis dalam pelbagai perkara berhubung keganasan.

Antaranya adalah:

1. Menjadi pencipta jaket pengebom berani mati (suicide vest),

2. Menggunakan wanita dalam misi serangan berani mati

3. Merekrut kanak-kanak menjadi anggota

Namun, seorang anggota Parlimen Sri Lanka bernama Vijayakala Maheswaran mengeluarkan kenyataan berkontroversi bahawa negaranya akan lebih ‘selamat’ sekiranya ia ditadbir oleh LTTE.

Maheswaran berkata, LTTE mampu menguatkuasakan undang-undang lebih efektif daripada pasukan polis, dan keganasan terhadap wanita serta kanak-kanak juga amat sedikit di kawasan-kawasan yang dikawal oleh kumpulan militan itu sebelum ini.

Namun begitu, kenyataan tersebut ternyata ‘memakan diri’ apabila ia membawa kepada penangkapan Maheswaran pada Isnin, 8 Oktober.

Selain itu, beliau juga telah dipaksa untuk melepaskan jawatannya sebagai Menteri Hal Ehwal Kanak-Kanak.

“Cawangan Jenayah Terancang (Polis) telah menahan Ahli Parlimen itu dan beliau akan dihadapkan ke mahkamah,” menurut satu kenyataan pihak polis.

Memetik laporan AFP, Maheswaran kemudian dibebaskan dengan ikat jamin bernilai setengah juta rupee dan bakal mula dibicarakan pada 7 Disember ini.

Difahamkan, pasukan tentera kerajaan telah memerangi Tamil Tigers secara habis-habisan sekali gus membawa kepada kekalahan militan itu pada bulan Mei 2009.

Ketika kuasa mereka berada di kemuncak, LTTE mengawal hampir 1/3 daripada seluruh Sri Lanka dan turut mempunyai pasukan polis serta mahkamah tersendiri.

Namun, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendakwa LTTE mengambil kanak-kanak menjadi tentera dan mengerahkan pengebom berani mati untuk melancarkan serangan ke atas orang awam.

Lebih daripada 100,000 orang di Sri Lanka telah terkorban sepanjang era pemberontakan Tamil Tigers.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker