Sukan

Bekas Kapten England, Chelsea Bersara

Bekas kapten pasukan kebangsaan England John Terry mengumumkan persaraannya daripada bermain bola sepak pada hari Ahad, dan bekas pemain pertahanan itu akan menceburkan diri di dalam dunia pengurusan bola sepak pula.

Terry yang menghabiskan sebahagian besar kerjayanya bersama Chelsea, menjadi kapten kepada kelab Aston Villa pada musim yang lepas.

Kini kelab dari Birmingham itu dilaporkan mahu dia menyertai barisan kejurulatihan kelab itu sebagai sebahagian daripada susunan muka-muka baharu mereka, dengan Thierry Henry yang bakal mengambil alih tugas sebagai pengurus di Villa Park selepas Steve Bruce dipecat minggu lepas.

“Selepas 23 tahun sebagai seorang pemain bola sepak, saya telah memutuskan bahawa sekarang adalah waktu yang sesuai untuk bersara daripada bermain,” ujar Terry di dalam satu mesej yang dimuatnaik di akaun Instagramnya.

Terry yang mewakili England sebanyak 78 kali, baru-baru ini menolak tawaran untuk bermain bersama Spartak Moscow, dengan berkata perpindahannya ke Rusia adalah tidak bagus untuk keluarganya.

Perlawanan terakhir Terry sebagai pemain bola sepak profesional adalah ketika Villa tewas 1-0 kepada Fulham pada bulan May, kekalahan yang menidakkan Villa untuk kembali ke Liga Perdana Inggeris.

Tetapi kariernya bersama kelab paling diingati adalah ketika dia bersama Chelsea di mana dia memenangi lima takhta Liga Perdana Inggeris, lima Piala FA serta piala Liga Juara-Juara dan Liga Europa, walaupun Terry tidak bermain di dalam dua perlawanan akhir piala Eropah itu.

“Sebagai seorang remaja berusia 14 tahun, saya mengambil keputusan terbesar dan terbaik: untuk menandatangani bersama Kelab Bola Sepak Chelsea,” tambah Terry yang turut berterima kasih kepada keluarga kerana sokongan mereka.

“Tiada kata-kata yang dapat menunjukkan betapa mereka di kelab bermakna buat saya, terutamanya para peminat dan penyokong…Saya berharap saya telah membuatkan anda semua berasa bangga ketika saya menyarungkan jersi kelab dan memakai gelang kapten.”

Dia turut merujukĀ  masanya bersama Aston Villa dan memuji kelab dan para penyokongnya.

“Saya berbesar hati kerana dapat mewakili kelab yang terkenal dan para penyokong yang hebat.

“Saya tidak sabar untuk menjalani bab baharu di dalam hidup saya dan menghadapi segala cabaran yang sedang menunggu.”

Terry membuat 717 penampilan bersama Chelsea, menjaringkan 67 gol dan dianggap sebagai salah seorang pemain pertahanan tengah terbaik England.

Namun pada tahun 2011, dia dituduh mengeluarkan kata-kata berunsur perkauman kepada Anton Ferdinand, adik kepada rakan di barisan pertahanan Terry, Rio Ferdinand ketika perlawanan menentang Queens Park Rangers.

Segala pertuduhan jenayah terhadap Terry digugurkan pada tahun 2012.

Tetapi Persatuan Bola Sepak di sana, yang menarik balik nama Terry sebagai Kapten England sementara mereka menunggu kes itu diselesaikan, kemudiannya mengenakan larang bermain sebanyak empat perlawanan dan juga denda kepada pemain pertahanan itu.

Keputusan badan pengurusan bola sepak England itu yang mahu mengenakan tindakan disiplin terhadap Terry menyebabkan dia bersara dari tugasan antarabangsa.

Sementara itu, Terry dipersendakan dengan teruk ketika Chelsea menewaskan Bayern Munich di perlawanan akhir Liga Juara-Juara 2012, apabila dia tampil lengkap dengan jersi perlawanan ketika meraikan kemenangan walaupun tidak bermain kerana didenda.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker